PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai berjaya menempah tiket ke separuh akhir Kumamoto Masters 2024 di Jepun selepas menumpaskan wakil tuan rumah pada aksi suku akhir, sebentar tadi.
Turun selaku pilihan ketiga kejohanan, pasangan suami isteri berkenaan menewaskan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito menerusi keputusan straight set 21-16, 21-13 dalam tempoh 35 minit.
Lebih manis, Soon Huat-Shevon menamatkan badi kekalahan pada empat pertemuan terakhir mereka sebelum ini dengan mengungguli perlawanan lapan terakhir di Gimnasium Wilayah Kumamoto ini.
Selepas ini, pasangan No. 10 dunia itu dijadualkan akan bertemu rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin atau pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran untuk penentuan ke final.
Ketika ini, Soon Huat-Shevon berada kedudukan selesa di tangga ketiga dengan 77,370 mata di atas beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou, China. – UTUSAN