PUTRAJAYA: Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 November ini di Riyadh, Arab Saudi, disokong penuh.
Untuk itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyarankan pelaksanaan solat sunat hajat khusus untuk mendoakan kejayaan misi ini.
“Perdana Menteri akan mewakili Malaysia dalam Sidang Kemuncak itu.
“Pelaksanaan solat hajat ini untuk memohon doa dan perlindungan daripada Allah SWT agar perjalanan dan misi Perdana Menteri mendapat keberkatan serta mencapai kejayaan demi manfaat negara dan ummah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masjid-Masjid utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin diminta untuk melaksanakan Solat Hajat selepas Solat Isyak bermula hari ini sehingga 11 November ini.
Mohd. Na’im berkata, semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan turut dimohon melaksanakan solat hajat untuk tempoh waktu yang sama.
“Pelaksanaan solat hajat ini diharapkan dapat meningkatkan solidariti umat Islam di seluruh negara serta menyatukan hati rakyat Malaysia dalam mendoakan misi penting ini.
“Perdana Menteri akan menyampaikan suara dan harapan negara di pentas antarabangsa dalam sidang kemuncak ini, yang dijangka turut membincangkan isu-isu kritikal melibatkan negara-negara Islam,” katanya.
Pada masa sama, seluruh umat Islam diajak bersama-sama menyertai solat hajat ini sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada pemimpin kita serta demi kesejahteraan negara. – UTUSAN