KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menarik balik rayuannya terhadap penangguhan hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down, Bella di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam bela, Asyraaf Abu Bakar Abu Hamzah yang mewakili Siti Bainun,32, memaklumkan perkara itu selaku perayu pada sebutan kes rayuan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini.
Semasa prosiding, peguam bela itu berkata, penarikan rayuan itu atas arahan anak guamnya. Pihak pendakwaan tidak membantah dengan penarikan balik rayuan berkenaan.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Azhar membatalkan rayuan tersebut.
Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas mensabitkan wanita itu dengan kesalahan mengabai dan menganiaya Bella.
Pada 2 Mei lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang kini berusia 14 tahun sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi dalam kejadian di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. – UTUSAN