Serangan Russia rosakkan empangan di Donetsk

Serangan Russia rosakkan empangan di Donetsk, penduduk diancam banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV : Serangan Russia menyebabkan kerosakan pada sebuah empangan di wilayah Donetsk, timur Ukraine, berhampiran garisan hadapan pertempuran.

Pihak berkuasa Ukraine turut memberi amaran kampung-kampung berhampiran berisiko banjir akibat peningkatan paras air.

Serangan tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang di tengah negara itu, dengan operasi menyelamat sedang giat dijalankan di bandar Kryvyi Rig.

Serangan itu berlaku selepas kedua-dua negara melancarkan serangan besar menggunakan dron pada hujung minggu.

Tentera Rusia kini bergerak ke wilayah Donetsk dan hampir menawan bandar Kurakhove yang terletak di sebelah empangan tersebut dengan jumlah penduduk praperang sekitar 10,000 orang.

“Russia telah merosakkan empangan di kawasan takungan Kurakhove. Serangan ini berpotensi mengancam penduduk di penempatan di sepanjang Sungai Vovcha, baik di wilayah Donetsk mahupun Dnipro.

“Setakat jam 4 petang, paras air di sungai dalam komuniti Velykonovosilkivska telah meningkat sebanyak 1.2 meter (empat kaki). Tiada kejadian banjir dilaporkan setakat ini!” kata Gabenor wilayah, Vadym Filashkin.

Empangan itu terletak di kampung Stari Terny, barat Kurakhove.

Pertubuhan alam sekitar antarabangsa telah memberi amaran mengenai kesan buruk pencerobohan Russia terhadap alam semula jadi Ukraine.

Jun tahun lalu, sebuah empangan besar era Soviet di wilayah Kherson, selatan Ukraine, telah diletupkan, menyebabkan berbilion liter air mengalir ke hilir dan membanjiri puluhan kampung di tebing Sungai Dnipro.

Kyiv menuduh Russia, yang mengawal empangan tersebut pada masa itu, meletupkannya untuk menghalang serangan balas Ukraine, manakala Moscow pula menyalahkan Ukraine.

Puluhan nyawa terkorban akibat banjir yang berlaku selepas letupan itu, yang turut mengakibatkan kerosakan alam sekitar yang besar di selatan Ukraine. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya