WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) menyekat undang-undang yang akan menghentikan penjualan beberapa senjata kepada Israel.
Usaha itu diperkenalkan berikutan kebimbangan tentang malapetaka hak asasi manusia yang dihadapi oleh penduduk Palestin di Gaza.
Seramai 79 daripada 100 senator menentang resolusi yang akan menyekat penjualan kereta kebal kepada Israel, manakala 18 meluluskannya dan seorang memilih berkecuali.
Senat turut mengundi mengenai dua resolusi lain yang akan menghentikan penghantaran peluru mortar dan sistem panduan GPS untuk bom.
Semua undian yang menyokong langkah itu datang daripada Demokrat, manakala undian menolaknya melibatkan kedua-dua Demokrat dan Republikan.
Resolusi penolakan penjuakan senjata itu difailkan oleh Senator, Bernie Sanders, seorang bebas yang berunding dengan Demokrat dan ditaja bersama oleh segelintir Demokrat.
Sokongan bipartisan yang kuat untuk Israel bermakna resolusi itu tidak mungkin diluluskan, tetapi penyokong berharap sokongan ketara dalam Senat akan menggalakkan rejim itu dan pentadbiran Presiden, Joe Biden meningkatkan usaha melindungi orang awam di Gaza.
Sebilangan besar penduduk Gaza yang berjumlah 2.3 juta orang kehilangan tempat tinggal dan wilayah itu berisiko mengalami kebuluran, lebih setahun selepas perang Israel menentang Hamas.
Pegawai kesihatan Gaza berkata lebih 43,922 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sanders berkata, bantuan ketenteraan kepada Israel melanggar undang-undang AS yang menghalang penjualan senjata kepada pesalah hak asasi manusia.
“Kami berpendapat bahawa kerajaan AS harus mematuhi undang-undang. Itu nombor satu.
“Dan nombor dua, dari perspektif moral, kita semua terkejut bahawa AS terlibat dalam kebuluran dan kekurangan zat makanan ribuan kanak-kanak di Gaza,” katanya pada sidang akhbar sebelum pengundian.
Penentang berkata, resolusi itu tidak sesuai kerana Israel menghadapi ancaman daripada kumpulan pejuang Hamas dan Hezbollah serta dari musuh ketatnya, Iran.
“Israel dikelilingi oleh musuh yang berdedikasi untuk memusnahkannya,” kata pemimpin majoriti Demokrat Senat, Chuck Schumer dalam ucapannya sebelum pengundian.-REUTERS