PERMUKAAN meja makan kayu miliknya kian ‘buruk’, tetapi dengan kaedah decoupage, perabot itu kelihatan seolah-olah baharu.
Nasyitoh Bainun Shah Kamal Khan, 32, tidak menyangka penglibatannya dalam seni tersebut sejak empat tahun lalu membantu menyelamatkan dan menambah nilai pelbagai barangan kelengkapan rumah.
Decoupage yang berasal daripada bahasa Perancis, decouper merujuk kepada seni menghias objek dengan melekatkan potongan kertas berwarna atau tisu bercorak.
Selain mengindahkan meja makan, wanita ini turut mengubah suai almari dan tudung saji rotan yang rosak serta berlubang-lubang.
Hasilnya, barangan itu tampak lebih cantik, ‘mewah’ dan ‘mahal’ berbanding rupa asal, sehingga disangka produk baharu.
Kepuasan tersebut sekali gus menyuntik motivasi ibu dua anak dari Sungai Petani, Kedah ini untuk terus bergiat aktif dalam decoupage.
Menariknya, hobi itu tidak memerlukan kos yang besar dan boleh dilakukan mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
“Dengan decoupage, saya dapat memberi nafas baharu kepada perabot lama tanpa perlu membuang atau menjualnya.
“Lama-kelamaan, timbul rasa seronok dan puas kerana berpeluang mengubah suai barangan kelengkapan rumah yang sudah uzur ataupun mahu mencantikkan sesuatu barangan,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Menceritakan permulaannya dalam hobi itu, katanya, ia diperkenalkan oleh ibu mentua pada 2020, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, masa terluangnya berkurung di rumah diisi dengan aktiviti tersebut, pada setiap hari sehingga mahir.
Tidak perlu bakat
Decoupage merupakan antara seni yang paling mudah kerana tidak memerlukan bakat terpendam pemiliknya.
Ia hanya melibatkan teknik gunting dan tampal corak-corak daripada kertas atau tisu sahaja.
Paling penting, seseorang perlu memiliki minat, kemahuan dan kreativiti tinggi untuk menghasilkan sesuatu yang cantik serta menarik.
“Asas pembuatannya sangat mudah kerana hanya melibatkan kerja-kerja menggunting dan menampal motif pada permukaan kayu, besi, plastik, kaca atau cermin.
“Masa mula-mula dulu memang rasa takut kalau salah tampal, tetapi apabila sudah seronok, makin ralit saya membuatnya,” katanya.
Walaupun tiada bakat dalam seni, tetapi lulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Cyberjaya ini mampu menghasilkan karya yang menarik.
Menurut Nasyitoh Bainun, hobi itu bukan sekadar mengisi masa lapangnya, malah berfungsi sebagai terapi emosi.
Katanya, projek decoupage boleh disiapkan sepantas 10 minit jika dilakukan pada sabun manakala lilin pula 10 minit.
Setakat ini, dia memiliki tujuh projek yang masih tertangguh dan belum disiapkan sejak di zaman PKP termasuk pengubahsuaian tudung saji plastik.
“Cabaran besar hobi ini adalah untuk mendapatkan mood kerana apabila sudah beralih kepada projek baharu, mood untuk menyiapkan yang lama turut hilang. Sebab itulah ada tujuh projek yang tertangguh sebegitu lama,” katanya sambil tertawa.
Kumpul 200 pembalut hadiah
Siapa sangka hobi mengumpul kertas pembalut hadiah sejak zaman sekolah rendah rupa-rupanya mempunyai kelebihan buat Nasyitoh Bainun.
Hal itu kerana ia dapat digunakan kembali bagi keperluan hobinya tanpa perlu berbelanja besar.
Jumlah koleksinya dianggarkan mencecah 200 helai, namun, ia tersimpan begitu sahaja.
“Selepas bertahun-tahun barangan itu diperam lama, akhirnya ia dapat dimanfaatkan menerusi aktiviti decoupage,” katanya.
Katanya, selain pembalut hadiah dan tisu, barangan lain yang boleh digunakan ialah poster, majalah, keratan akhbar dan gambar.
Dalam pada itu, Nasyitoh Bainun turut menggabungkan teknik decoupage dengan tanah liat bagi menghasilkan karya yang lebih menarik.
Katanya, idea itu timbul selepas melihat rujukan di laman Pinterest, lantas mendorongnya mengikuti kelas untuk menambahkan lagi kemahiran.
Gabungan dua seni itu berjaya menghasilkan rekaan yang lebih eksklusif dan vintaj sesuai dengan elemen decoupage yang menjurus kepada gaya Inggeris.
Dalam pada itu, katanya, kertas tidak mudah berkedut dan koyak ketika ditampal berbanding tisu yang lebih berisiko.
Bagaimanapun, wanita ini memiliki teknik khas untuk menghasilkan projek tanpa kedut atau koyak.
“Untuk tisu, saya gemar menggunakan kaedah koyak kerana ia dapat menjamin kekemasan.
“Caranya adalah dengan membasahkan hujung berus menggunakan air, kemudian letakkan pada bahagian yang ingin dikoyak.
“Apabila tisu sudah lembut, barulah saya koyakkan dan inilah rahsia untuk mendapatkan finishing decoupage yang premium,” katanya.
Proses seterusnya ialah menampal gam pada permukaan bagi melekatkan kertas atau tisu, diikuti tiga lapisan varnis.
Tarik minat lelaki warga emas
Keterujaan pada decoupage mendorong Nasyitoh Bainun berkongsi perkembangan hobinya termasuk projek-projek yang diusahakan di platform TikTok.
Tanpa disangka perkongsian itu mendapat perhatian ramai termasuk kalangan lelaki warga emas.
“Sebelum ini saya menjual produk kosmetik jenama sendiri dan semasa membuat video secara langsung di TikTok, saya selitkan juga tentang hobi decoupage.
“Kebanyakan pengikut saya tidak tahu tentang seni hiasan ini dan apabila kerap bercerita, makin ramai yang tertarik dengannya termasuk lelaki berusia,” katanya.
Daripada situ, dia mula memperbanyakkan perkongsian mengenai decoupage di akaunnya, Bainun Deco Life.
Malah, turut menerima tajaan daripada kedai-kedai seni bagi mempromosikan produk mereka.
“Selain cerita projek terkini, saya juga membuat tutorial atau kelas-kelas pembuatan secara percuma selain yang berbayar untuk mereka yang mahu mempelajari seni hiasan ini,” katanya.
Antara kelas itu ialah pembuatan decoupage pada piring kek, papan pemotong, tudung saji besi serta rotan, bekas makanan daripada rotan, sabun dan lilin.
Harganya bermula daripada RM169 hingga RM299 dengan bahan-bahan decoupage disediakan.