BARCELONA: Francesco Bagnaia sudah merancang untuk kembali berada di puncak MotoGP, selepas kehilangan gelaran juara dunia kepada Jorge Martin pada hujung minggu lalu.
Bagnaia memenangi 11 perlumbaan sepanjang musim ini, satu jumlah yang membolehkannya tersenarai 10 terbaik untuk kemenangan Grand Prix kelas utama sepanjang zaman, tetapi pelumba Itali itu tidak berminat untuk meraikannya, sebaliknya dia hanya mahu terus menambahnya.
“Sejujurnya, saya bukan berada pada titik dalam kerjaya saya di mana saya mahu memeriksa nombor tersebut.
“Saya seorang pelumba yang masih muda, dan saya rasa saya masih ada lapan atau sepuluh tahun lagi di hadapan saya, jadi saya akan cuba lakukan yang terbaik, saya akan terus berusaha untuk menjadi laju, kuat, dan terus cuba untuk menambahnya.
“Yang paling penting adalah untuk berkembang dari segi gelaran kejuaraan, dan saya akan cuba,” katanya.
Pelumba Ducati Lenovo itu turut menambah bahawa, walaupun dia kehilangan gelaran pada musim ini namun ia tetap merupakan tahun yang berharga buat dirinya.
“Saya tidak menganggap (2024) sebagai satu kekalahan secara tepat, kerana saya belajar dari kesilapan saya dan saya tahu kita kehilangan kejuaraan kerana kesilapan dan ini adalah sesuatu yang akan saya perbaiki.
“Juga, jika kita melihat statistik Marc (Marquez), dia memenangi dua gelaran berturut-turut, kemudian dia kalah pada 2015, dan selepas itu dia menang empat kali berturut-turut.
“Oleh itu, kita tak tahu, dan saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mencapai lagi matlamat maksimum,” katanya.
Untuk kembali ke puncak, dan merampas semula kejuaraan dunia yang dipegangnya pada dua tahun lalu, Bagnaia perlu belajar daripada kesilapan yang dilakukannya pada musim ini sehingga menghalangnya daripada mengekalkan gelaran.
“Perkara pertama yang saya perlu pelajari adalah untuk memahami situasi dengan lebih baik, kerana benar bahawa tiga daripada lapan sifar ini datang daripada situasi yang pelik,” kata Bagnaia. – AGENSI