NEW YORK : Penguin Adélie kini menjadi haiwan penting dalam memantau perubahan alam sekitar, terutamanya kesan perubahan iklim di Antartika, sebuah kawasan yang sukar diakses oleh saintis.
Namun, usaha ini dipermudahkan melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) seperti yang dinyatakan dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS One.
Penyelidik dari Universiti Stony Brook, New York, telah mencipta kaedah bijak untuk mengesan perkembangan koloni penguin Adélie di Antartika tanpa perlu ke lokasi tersebut.
Mereka menggunakan Segment Anything Model, model visi komputer yang dibangunkan oleh Meta, yang membolehkan mereka menganalisis gambar-gambar yang diambil oleh pelancong dan saintis di kawasan terpencil itu.
Model ini, yang direka untuk memisahkan objek dalam imej, mampu mengenal pasti satu atau lebih penguin dalam beberapa saat, berbanding dengan kaedah manual yang memerlukan satu hingga dua minit, menurut para penyelidik dalam kertas kajian mereka.
Kelebihan lain model ini adalah kemampuan untuk mengubah gambar-gambar yang diambil di Antartika menjadi model digital 3D bagi lapisan ais Antartika, menunjukkan lokasi setiap penguin yang difoto.
Ini membolehkan penyelidik mengesan perkembangan burung laut ini serta habitat semulajadinya, memandangkan kitaran pembiakan dan tabiat pemakanan penguin Adélie berkait rapat dengan keadaan ais laut di Antartika.
Kaedah analisis baru ini dijangka memudahkan kerja saintis dalam mengkaji Antartika dan ekosistem semulajadi uniknya.
Antartika kini menjadi destinasi pelancongan yang popular, dengan lebih 120,000 pelancong melawat kawasan tidak berpenghuni ini pada tahun 2023-2024, menurut Persatuan Pengendali Pelancongan Antartika Antarabangsa.
Syarikat-syarikat yang menawarkan perjalanan ke kawasan terpencil ini sedang mengambil langkah untuk mengurangkan impak mereka, tetapi komuniti saintifik belum yakin dengan langkah-langkah tersebut. -AGENSI