NEW YORK: Russia menggunakan kuasa veto untuk menghalang resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru gencatan senjata segera di Sudan, ketika negara itu terus dilanda peperangan yang mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Resolusi yang dirangka oleh United Kingdom dan Sierra Leone itu menyeru semua pihak yang bertelagah di Sudan agar segera menghentikan permusuhan dan memulakan dialog bagi mencapai gencatan senjata kebangsaan.
Namun, pada sesi undian pagi Isnin, Russia menjadi satu-satunya negara daripada 15 anggota Majlis Keselamatan yang menolak resolusi tersebut.
Tindakan itu dikritik keras oleh Menteri Luar British, David Lammy, yang menyifatkan langkah Russia sebagai ‘kejam, sinis, dan tidak berperikemanusiaan’.
“Satu negara menghalang Majlis daripada bersuara sebulat suara. Russia perlu menjelaskan tindakannya kepada seluruh keanggotaan PBB,” kata Lammy selepas undian tersebut.
Resolusi yang dicadangkan itu menggesa semua pihak bertelagah supaya bersetuju dengan gencatan senjata kebangsaan, mengadakan rehat kemanusiaan, serta memastikan laluan selamat untuk penduduk awam dan bantuan kemanusiaan.
Duta Timbalan Russia ke PBB, Dmitry Polyanskiy, dalam ucapannya kepada Majlis Keselamatan selepas undian berkata, Russia bersetuju konflik di Sudan perlu diselesaikan dengan segera.
Namun, beliau menegaskan usaha tersebut tidak seharusnya dipaksakan ke atas Sudan melalui keputusan sepihak oleh anggota Majlis.
Polyanskiy turut menuduh UK dan Sierra Leone mengamalkan sikap talam dua muka dengan merujuk sokongan Britain terhadap pelanggaran kemanusiaan oleh Israel dalam konflik di Gaza sambil menyifatkan kritikan Lammy sebagai contoh jelas neo-kolonialisme British.
Menurut data daripada Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata (ACLED), lebih 20,000 orang telah terbunuh sejak peperangan bermula, tetapi angka sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi.
Resolusi yang gagal diluluskan ini memburukkan lagi prospek keamanan di Sudan, dengan rakyat negara itu terus menderita akibat konflik yang semakin berlarutan. -AGENSI