KABUL: Russia memberi jaminan untuk mengeluarkan Taliban daripada senarai organisasi yang diharamkan dalam masa terdekat.
Jaminan itu disampaikan oleh Pegawai Keselamatan Tertinggi Russia, Sergei Shoigu ketika mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan Afghanistan di Kabul, semalam.
Pertemuan tersebut merupakan langkah penting, memandangkan sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021, lawatan oleh pegawai asing amat jarang berlaku kerana tiada negara yang secara rasmi mengiktiraf Kerajaan Taliban.
Walaupun sekatan terhadap wanita oleh Taliban menjadikan negara itu dipandang serong oleh negara-negara Barat, Kabul kini giat memperkukuhkan hubungan diplomatik dengan jiran serantau, menekankan kerjasama ekonomi dan keselamatan.
Shoigu, Setiausaha Majlis Keselamatan Russia bertemu delegasi Afghanistan yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Abdul Ghani Baradar.
Menurut kenyataan pejabat Baradar yang disiarkan dalam laman sosial X, Shoigu menyatakan minat Russia untuk meningkatkan tahap kerjasama dua hala dengan Afghanistan.
“Beliau turut mengumumkan bagi memperluas hubungan politik dan ekonomi antara kedua-dua negara, serta nama Emiriah Islamiah (Taliban) akan dikeluarkan daripada senarai hitam Rusia dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
Shoigu dilaporkan mahu membina hubungan yang ‘konstruktif’ dengan Kabul dan menyatakan kesediaan Rusia untuk menyertai projek-projek perlombongan sumber semula jadi di Afghanistan.
“Saya mengesahkan kesediaan untuk mewujudkan dialog politik konstruktif antara kedua-dua negara, termasuk memberi momentum kepada proses penyelesaian dalaman Afghanistan,” katanya seperti dipetik agensi berita RIA Novosti.
Langkah Russia ini dilihat sebagai satu lagi usaha untuk memperkukuh pengaruh geopolitik dan memastikan kestabilan serantau di Asia Tengah. -AGENSI