TBILISI: Beribu-ribu rakyat Georgia berhimpun di Tbilisi bagi membantah penipuan oleh parti pemerintah serta campur tangan Russia dalam pilihan raya Parlimen, bulan lalu.
Pihak pembangkang pro-Barat menolak keputusan kemenangan parti pemerintah, Georgian Dream, dalam pilihan raya 26 Oktober lalu, dan enggan memasuki Parlimen baharu yang dianggap sebagai “tidak sah.”
Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) turut mengecam ‘ketidakteraturan’ dalam pengundian tersebut, manakala pihak pembangkang menuduh Georgian Dream menghalakan negara Caucasus itu ke arah pro-Kremlin.
Penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Parlimen Georgia pada petang Isnin, sehingga menyebabkan gangguan trafik di jalan utama Tbilisi, selepas kumpulan pembangkang menyeru penyokong untuk turun ke jalanan.
Presiden Georgia, Salome Zurabishvili yang berselisih faham dengan parti pemerintah turut menyifatkan undian tersebut sebagai tidak sah dan menuduh Russia campur tangan dalam pilihan raya itu.
Moscow bagaimanapun menafikan sebarang campur tangan.
Sebelum ini, sekumpulan pemantau pilihan raya utama di Georgia mendakwa mereka menemukan bukti skim kompleks penipuan pilihan raya secara besar-besaran yang menguntungkan Georgian Dream.
Protes diadakan selepas puluhan ribu orang berhimpun dalam satu demonstrasi di ibu negara, minggu lalu.
Perdana Menteri, Irakli Kobakhidze menegaskan pilihan raya itu ‘adil sepenuhnya.’
Namun, pengkritik menuduh Georgian Dream yang semakin konservatif telah membawa Tbilisi kembali ke dalam pengaruh Moscow. -AGENSI