PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur berjaya membongkar kegiatan sebuah restoran yang menyembunyikan bekalan minyak masak paket bersubsidi dalam kuantiti banyak.
Kegiatan itu terbongkar dalam serbuan Op Kita Gempur sekitar pukul 5 petang, kelmarin.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 260 kilogram (kg) minyak masak paket dua jenama bernilai RM650 turut disita.
KPDN Kuala Lumpur berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak 260 kilogram (kg) minyak masak paket dua jenama bernilai RM650 turut disita.
Menurutnya, operasi dilakukan hasil aduan diterima pihaknya membabitkan premis itu yang menerima bekalan minyak masak paket daripada sebuah lori dalam kuantiti banyak.
“Susulan itu pihaknya menjalankan pemeriksaan dana mendapati bekalan mentah itu disimpan dalam setor berkunci di bahagian dapur premis.
“Pekerja premis diarahkan membuka kunci setor di bahagian dapur, namun dimaklumkan kunci dipegang pengurus restoran sebelum seorang lelaki tempatan tiba bagi membuka bilik itu.
“Pemeriksaan lanjut menemui 260 kg minyak masak paket dalam dalam setor berkenaan yang kemudiannya bahan mentah itu disita.
“Pemborong yang membekalkannya juga telah dikenal pasti melalui dokumen penjualan yang turut disita,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, jelas kenyataan itu, restoran terbabit tidak mempunyai permit menyimpan barang kawalan bagi kegunaan perdagangan mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan ia adalah kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kertas siasatan sudah dibuka terhadap restoran berkenaan dan pemborong bahan itu.
“Pemborong barang kawalan yang diberikan lesen barang kawalan oleh pihak kementerian perlu bertanggungjawab menjual minyak masak paket kepada pasaran untuk pengguna isi rumah saja,” katanya. – UTUSAN