Ratusan roket Hezbollah hujani langit Israel - Utusan Malaysia

Ratusan roket Hezbollah hujani langit Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kumpulan Hezbollah berjaya menyasarkan pangkalan tentera laut Ashdod di selatan Israel ‘untuk kali pertama’, dengan melancarkan serangan terhadap sebuah sasaran ketenteraan di Tel Aviv menggunakan peluru berpandu canggih dan dron serangan.

Akibat serangan mengejut itu, siren serangan udara berbunyi di kawasan tengah dan utara negara itu, termasuk kawasan pinggir Tel Aviv. 

Rejim Zionis berkata, beberapa peluru berpandu yang ditembak ke arah utara Israel berjaya dipintas, dengan lebih 250 peluru berpandu dilaporkan dilancarkan dari Lubnan.

Siaran radio tentera Israel kemudiannya melaporkan sebanyak 340 roket dilancarkan dari Lubnan. 

Serangan tersebut mengakibatkan 11 orang cedera, termasuk seorang lelaki yang dilaporkan berada dalam keadaan ‘serius’, menurut agensi perubatan Israel. 

Serangan itu berlaku sehari selepas Israel melancarkan serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang di tengah Beirut.  

Kementerian Kesihatan Awam Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 66 orang lagi cedera.

Perdana Menteri Lubnan sementara, Najib Mikati mengutuk serangan tersebut sebagai satu usaha melumpuhkan usaha gencatan senjata yang dipimpin Amerika Syarikat (AS). 

Mikati menegaskan ia sebagai mesej berdarah yang secara langsung menolak segala usaha dan perbincangan untuk menghentikan perang.

Diplomat Tertinggi Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell menggesa agar lebih banyak tekanan dikenakan terhadap Israel dan Hezbollah untuk mencapai persetujuan.

Jelasnya, satu perjanjian kini dalam proses persetujuan akhir daripada kerajaan Israel. 

Tambah Borrell, EU bersedia untuk menyediakan bantuan sebanyak AS$208 juta (RM 926 juta) yang akan mengerahkan lebih banyak pasukan ke selatan negara itu untuk membantu tentera Lubnan. 

Perjanjian itu akan membuka jalan kepada pengunduran pejuang Hezbollah dan tentera Israel dari selatan Lubnan di Sungai Litani, selaras resolusi Majlis Keselamatan PBB (1701) yang menamatkan perang 2006. 

Tentera Lubnan akan membuat rondaan di kawasan itu, dengan kehadiran pasukan pengaman PBB.

Pentadbiran Biden menghabiskan masa selama berbulan-bulan dengan berusaha menjadi perantara gencatan senjata, dan Utusan AS, Amos Hochstein kembali ke wilayah itu, minggu lalu.

TENTERA LUBNAN DISERANG 

Di selatan Lubnan, pihak tentera berkata, serangan Israel terhadap sebuah pos mengorbankan seorang askar.

“Seorang askar syahid dan 18 yang lain cedera, termasuk beberapa yang lain cedera parah, akibat serangan Israel yang menyasarkan pusat tentera Lubnan di al-Amriyeh,” kata tentera dalam kenyataan.

Siri serangan Israel terbaharu itu mengorbankan lebih 40 tentera Lubnan. 

Tentera Israel berkata, serangan sebelum ini terhadap tentera Lubnan adalah tidak disengajakan dan menjelaskan mereka bukanlah sasaran kempennya, sebaliknya Hezbollah yang diburu. 

Selepas hampir setahun insiden berbalas tembakan merentas sempadan, Hezbollah berkata, pihaknya bertindak menyokong Hamas di Gaza. 

Israel meningkatkan serangan udara di Lubnan sejak 23 September lalu, dan menghantar tentera darat ke selatan Lubnan, seminggu selepas itu.  

Hezbollah berkata, pihaknya hanya akan menghentikan serangan jika Israel menghentikan tembakan di Gaza.

Wilayah bergolak itu kini bertukar menjadi padang jarak padang tekukur selepas 13 bulan pengeboman Israel tanpa henti.

Serangan Israel mengorbankan lebih 3,500 orang di Lubnan. Pertempuran telah menyebabkan kira-kira 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal bersamaan satu perempat daripada penduduk Lubnan.

Di pihak Israel, kira-kira 90 askar dan hampir 50 orang awam terbunuh akibat pengeboman di utara Israel berikutan pencerobohan darat Israel pada awal Oktober lalu.

Kira-kira 60,000 penduduk Israel dipindahkan dari utara negara itu sejak 7 Oktober, tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya