PORT LOUIS: Pemimpin pembangkang Mauritius, Navin Ramgoolam, dilantik sebagai Perdana Menteri selepas kemenangan besar dalam pilihan raya yang menyaksikan gabungannya memenangi semua kerusi Parlimen di pulau utama negara itu.
Sebagai salah satu negara demokrasi yang paling stabil dan makmur di Afrika, kepulauan Lautan Hindi ini telah dikuasai oleh beberapa dinasti politik sejak kemerdekaannya daripada Britain pada 1968.
“Mahkamah rakyat telah memberikan keputusan dan Mauritius yang baru bangkit,” kata pemimpin berusia 77 tahun yang disambut dengan sorakan gemuruh daripada penyokong.
Bekas Perdana Menteri, Pravind Jugnauth, meletakkan jawatan setelah memegang tampuk pemerintahan sejak 2017, mewarisi jawatan tersebut daripada bapanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan gabungan Ramgoolam memperoleh 62.6 peratus undi, manakala gabungan Lepep pimpinan Jugnauth memperoleh 27.8 peratus.
Namun, keputusan pilihan raya kali ini dicemari dengan skandal pengintipan telefon apabila rakaman perbualan telefon secara rahsia antara ahli politik, diplomat, anggota masyarakat sivil, dan wartawan telah dibocorkan secara dalam talian.
Tindak balas kerajaan dengan melarang media sosial menyebabkan bantahan hebat di seluruh negara sehingga memaksa larangan itu dibatalkan dalam tempoh 24 jam.
Penganalisis sebelum ini memberi amaran mengenai kelemahan tadbir urus, rasuah, dan keperluan untuk mempelbagaikan ekonomi negara.
Gabungan Perubahan telah berjanji untuk memperkenalkan perubahan dalam cara pemilihan presiden dan speaker parlimen dijalankan.
Walaupun begitu, kedua-dua kempen pilihan raya lebih memfokuskan isu kos sara hidup, dengan Ramgoolam menawarkan bayaran pencen yang lebih tinggi dan harga bahan api yang lebih murah.
Negara majoriti Hindu ini menikmati kestabilan sejak kemerdekaan, membina ekonomi berasaskan pelancongan, perkhidmatan kewangan dan pembuatan tekstil, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita melebihi $10,000 menurut Bank Dunia.
Ramgoolam, yang juga seorang bekas doktor dan peguam, pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada 1995-2000 dan 2005-2014.
Beliau merupakan anak kepada Seewoosagur Ramgoolam, yang memimpin Mauritius ke arah kemerdekaan dari Britain pada 1968. -AGENSI