VALENCIA : Puluhan ribu orang berarak di Valencia dan beberapa bandar lain di Sepanyol sebagai isyarat meluahkan kemarahan terhadap cara pihak berkuasa menangani bencana banjir yang mengorbankan ratusan nyawa.
Di Valencia, sebilangan penunjuk perasaan menjerit ‘Pembunuh! Pembunuh!’ sambil membawa sepanduk mengecam Presiden Wilayah Valencia dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.
Wilayah Valencia adalah kawasan paling teruk terjejas dalam bencana banjir bulan lalu, yang disifatkan sebagai paling serius dalam beberapa dekad.
Sekurang-kurangnya 220 orang terkorban dalam banjir itu, yang turut menyebabkan bandar-bandar ditenggelami lumpur.
Penduduk tempatan meluahkan kekecewaan kerana amaran banjir hanya sampai ke telefon bimbit ketika kenderaan mereka sudah mula dihanyutkan arus.
Mereka turut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kelewatan pihak berkuasa bertindak, selepas banjir kilat yang melanda kira-kira 80 bandar dan pekan di wilayah berkenaan.
Suasana tegang tercetus apabila polis dan penunjuk perasaan saling berhadapan, dengan beberapa insiden kecil dilaporkan, menurut seorang wartawan AFP yang menyaksikan kejadian itu.
Semasa perarakan menuju ke ibu pejabat wilayah di Valencia, beberapa penunjuk perasaan mengecam Presiden Wilayah Valencia, Carlos Mazon.
Daripada 220 kematian yang disahkan setakat ini, 212 daripadanya berlaku di wilayah Valencia dan operasi pembersihan di beberapa kampung serta pencarian mayat mangsa yang masih hilang masih diteruskan.
Protes serupa turut diadakan di bandar-bandar lain di seluruh Sepanyol, termasuk di Madrid dan Alicante di wilayah Valencia. – AGENSI