PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, Rachel Arnold melakar kemenangan cemerlang apabila menewaskan pilihan ketiga dari Mesir, Farida Mohamed dalam perlawanan akhir Terbuka China, hari ini.
Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan Rachel dalam arena skuasy antarabangsa, selepas turut menewaskan pilihan utama, Rowan Elaraby dari Mesir, Jumaat lalu.
Pemain berusia 28 tahun itu menampilkan aksi terbaik mengawal permainan sepanjang 28 minit dengan keputusan 3-0 (11-5, 11-8, 11-8).
Aksi Rachel yang konsisten dan bertenaga menjadi faktor utama kemenangannya di Shanghai serta turut menguasai rentak permainan dengan hantaran-hantaran tajam dan kawalan tempo yang mantap, sekali gus memberikan tekanan kepada Farida yang tidak dapat mencari peluang untuk bangkit.
Pemain pilihan keenam kejohanan itu berhasil membawa pulang wang tunai bernilai AS$75,000 (RM328,707), menjadikan gelaran terbesar dalam karier beliau.
Untuk rekod, kali terakhir Rachel merangkul gelaran adalah pada Terbuka Malaysia 2019 lalu. – UTUSAN