PETALING JAYA: Pemain No. 30 dunia, Rachel Arnold melakar kejutan besar selepas menyingkirkan jaguh No. 8 dunia, Rowan Elaraby pada suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka China di Pusat Sukan Shanghai Oriental dekat Shanghai, China, malam tadi.
Rachel yang hadir ke Terbuka China bagi mencari kembali rentak permainannya mengambil masa selama 46 minit untuk membenam pilihan pertama dari Mesir itu 9-11, 11-8, 11-9, 11-9.
Kejayaannya tersebut bakal menemukan Rachel dengan pemain remaja Malaysia, Aira Azman di separuh akhir, esok.
Aira yang berusia 20 tahun dan menghuni ranking ke-35 dunia itu mencipta kejutan ke atas pemain No. 20 dunia, Sana Ibrahim juga dari Mesir 2-11, 9-11, 14-12, 11-3, 11-6 dalam masa 55 minit.
Turut mengikut jejak langkah Rachel dan Aira adalah pemain No. 9 dunia, S. Sivasangari yang mengetepikan pilihan ketujuh, Georgia Adderley dari Scotland 11-9, 11-9, 6-11, 11-9 dalam masa 54 minit.
Pada separuh akhir, anak jati Sungai Petani, Kedah itu yang diletakkan selaku pilihan kedua bakal berdepan pencabar yang lebih kuat iaitu pemain No. 15 dunia, Farida Mohamed dari Mesir.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, Ng Eain Yow yang diletakkan sebagai pilihan ketiga menewaskan wakil Mesir, Mohamad Zakaria 9-11, 11-5, 11-9, 11-2.
Pada peringkat empat terbaik, pemain No. 15 dunia itu akan bertemu sama ada pemain No. 10 dunia, Marwan Elshorbagy dari England atau Mohamed Abouelghar dari Mesir. – UTUSAN