Protes berdarah di India: Dua maut, 16 anggota polis cedera

Protes berdarah di India: Dua maut, 16 anggota polis cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Seramai dua orang dilaporkan maut dan 16 anggota polis cedera parah dalam rusuhan yang tercetus berikutan kajian terhadap dakwaan sebuah masjid abad ke-17 dibina di atas tapak kuil Hindu.

Menurut Pegawai Polis, Pawan Kumar, insiden itu berlaku di daerah Sambhal, negeri Uttar Pradesh, selepas pertempuran antara penunjuk perasaan beragama Islam dan pihak berkuasa meletus, pada Ahad.

“Dua orang disahkan meninggal dunia,” katanya kepada agensi berita AFP, sementara laporan agensi Press Trust of India pula menyatakan tiga kematian direkodkan.

Rusuhan bermula apabila sekumpulan penyelidik memasuki Masjid Shahi Jama di Sambhal atas arahan mahkamah tempatan, selepas seorang sami Hindu mengemukakan petisyen mendakwa masjid tersebut dibina di atas tapak kuil Hindu.

Keadaan bertukar tegang apabila penunjuk perasaan bertindak membaling batu ke arah polis, yang kemudian terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Tuntutan terhadap beberapa masjid yang didakwa dibina di atas tapak kuil Hindu oleh aktivis Hindu semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Mereka mendakwa masjid-masjid tersebut dibina semasa pemerintahan empayar Mughal yang beragama Islam berabad lalu.

Keberanian aktivis Hindu semakin memuncak selepas Perdana Menteri, Narendra Modi merasmikan kuil besar di Ayodhya awal tahun ini.

Kuil itu dibina di atas tapak masjid Babri yang dirobohkan pada 1992, dalam kempen yang diketuai oleh parti Bharatiya Janata (BJP) sehingga mencetuskan rusuhan agama yang mengorbankan 2,000 orang, dengan kebanyakannya adalah Muslim.

Kempen yang semakin lantang untuk menyelaraskan sistem politik India yang sekular dengan kepercayaan Hindu majoriti telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk minoriti Muslim yang berjumlah kira-kira 210 juta orang sejak Modi mula memegang tampuk pemerintahan pada 2014. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya