Prabowo umum kenaikan gaji guru mulai tahun depan

Prabowo umum kenaikan gaji guru mulai tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan kenaikan gaji guru yang dijangka bermula Januari tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan menambah peruntukan untuk kebajikan guru berstatus penjawat awam (ASN) dan kakitangan kerajaan dengan perjanjian kerja (PPPK) serta guru bukan ASN atau kehormat.

“Hari ini saya agak tenang berdiri di hadapan semua guru kerana saya boleh katakan walaupun kita baru sebulan berkuasa, kita sudah boleh umumkan kebajikan guru kini sudah dipertingkatkan,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Guru di Velodrome Rawamangun, Jakarta Timur. 

Prabowo menjelaskan, kenaikan itu melibatkan sekali ganda gaji pokok untuk guru ASN dan sebanyak dua juta rupiah (RM560) kepada guru bukan ASN yang mengambil bahagian dalam pensijilan atau pendidikan guru profesional (PPG).

“Guru ASN mendapat kenaikan sebanyak satu kali ganda gaji pokok, manakala guru bukan ASN pula dinaikkan elaun profesional kepada dua juta rupiah,” kata Prabowo sambil disambut tepukan gemuruh daripada golongan guru.

Beliau mendedahkan, terdapat 1,932,666 guru bertauliah pada 2025, yang merangkumi 64.4 peratus daripada keseluruhan guru, meningkat 620 berbanding tahun ini.

Dengan kenaikan gaji itu, peruntukan untuk kesejahteraan guru ASN dan bukan ASN mencecah 81.6 trilion rupiah (RM24.48 bilion) pada 2025, meningkat sekitar 16.7 trilion rupiah (RM5.01 bilion).

Bukan hanya kenaikan gaji, Prabowo berkata, kerajaan juga akan melaksanakan PPG kepada 806,486 guru pada tahun depan.

“Masih berkait komitmen kerajaan untuk meningkatkan kebajikan dan kualiti guru pada tahun 2025, PPG akan dilaksanakan untuk 806,486 guru ASN dan bukan ASN yang memenuhi kelayakan pendidikan D4 dan S1,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah, Abdul Mu’ti turut menyebut mengenai rancangan kenaikan gaji guru.

Beliau berkata, kenaikan itu terpakai kepada guru yang berstatus ASN dan bukan ASN, sama ada di sekolah swasta mahupun negeri.– KOMPAS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya