NEW YORK: Polis New York menahan sekumpulan penunjuk perasaan pro-Palestin yang bertindak mengganggu Perarakan Hari Kesyukuran Macy’s ke-98 dengan cuba menyekat laluan perarakan sebelum belon terapung Ronald McDonald melintasi kawasan tersebut.
Perarakan tahunan itu, yang disiarkan secara langsung melalui televisyen di seluruh negara, merupakan sebahagian daripada tradisi Hari Kesyukuran di Amerika Syarikat.
Acara itu menyajikan pemandangan belon gergasi watak kartun, pancaragam dan persembahan artis terkenal, dengan ribuan orang memenuhi jalan-jalan di Manhattan.
“Peserta demonstrasi telah ditahan tanpa sebarang insiden,” menurut kenyataan Jabatan Polis New York (NYPD).
Jumlah mereka yang ditahan belum dapat dipastikan, dan pihak polis masih meneliti tuduhan yang akan dikenakan.
Sebuah barisan terdiri daripada kira-kira 20 penunjuk perasaan duduk di tengah jalan di bawah hujan renyai, manakala sekumpulan yang lain memegang sepanduk bertulis ‘Jangan raikan pembunuhan beramai-ramai’ dan ‘Sekatan senjata sekarang!’ ketika belon Ronald McDonald yang tersenyum melayang di udara.
Menurut saksi Reuters, polis pada mulanya memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya beredar tanpa mengambil tindakan.
Namun, sekumpulan anggota polis berbasikal tiba di lokasi dan bertembung dengan peserta protes sebelum mereka dibawa keluar dari kawasan tersebut.
Pesuruhjaya Polis, Jessica Tisch, yang baru mengangkat sumpah jawatan pada Isnin lalu, memaklumkan kepada NBC, pihak berkuasa tidak menjangka sebarang protes, tetapi telah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Penunjuk perasaan dilaporkan membantah tindakan Israel dalam perang Gaza yang telah meragut lebih 44,000 nyawa rakyat Palestin.
Serangan turut menyebabkan hampir seluruh penduduk Gaza, yang berjumlah 2.3 juta orang, kehilangan tempat tinggal, menghadapi kebuluran dan mencetuskan tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Dunia, yang dinafikan oleh Israel. –AGENSI