Pok Nong pengusaha ikan celup tepung terkenal meninggal dunia selepas rebah di UniSZA

Pok Nong pengusaha ikan celup tepung terkenal meninggal dunia selepas rebah di UniSZA

MD. NON NAWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pemilik Warung Pok Nong Celup Tepung, Md. Non Nawang, 68, yang rebah ketika menghadiri majlis konvokesyen anak bongsunya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), kelmarin meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan dalam otak, hari ini. 

Allahyarham yang mesra dipanggil Pok Nong meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada pukul 12 tengah malam.

Anaknya, Nur Izzati, 25, berkata, bapanya mengalami demam beberapa hari  lalu namun sempat menghadiri majlis konvokesyen adik bongsunya, Nor Arissyah, 24.

Dia berkata, ayahnya amat gembira dan teruja meraikan Nor Arissya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan (Kepujian) menerima skrol. 

“Begitupun, sewaktu perarakan akademik sedang berlangsung pada kelmarin (Selasa), ayah (Pok Nong) tiba-tiba rebah sebelum pasukan perubatan UniSZA segera memberikan bantuan kecemasan sebelum kami menghantarnya  ke HSZA di sini.

“Ayah selepas itu ditidurkan dan menjalani pembedahan ekoran darah beku dalam kepala, namun Allah lebih menyayanginya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hajar, Kampung Gong Awang Lib, Mengabang Telipot di sini pada pukul 11 pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN