Pisang melekat di dinding dijual RM27 juta - Utusan Malaysia

Pisang melekat di dinding dijual RM27 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Karya seni tular melibatkan sebiji pisang segar yang dilekatkan pada dinding oleh artis visual Itali, Maurizio Cattelan berjaya dijual pada harga AS$6.2 juta (RM27.69 juta) ketika lelongan Sotheby di New York.

Karya seni konseptual serta provokatif itu diberi nama Comedian dan membuat penampilan sulung pada 2019 semasa Pameran Art Basel Miami Beach.

Pisang yang ditampal dengan pita pelekat itu mencetuskan kontroversi dan sensasi internet selain menimbulkan persoalan sama ada ia perlu dianggap sebagai seni, seperti matlamat asal Cattelan.

Pisang asal yang dipamerkan dilaporkan dimakan oleh seorang artis seni persembahan, David Datuna yang ‘lapar’ semasa melihatnya, manakala buah dan pita pelekat berkenaan kerap diganti dengan yang baharu.

Semasa jualan, jurulelong, Oliver Barker menyifatkan karya itu sebagai ‘ikon yang mengganggu’ sambil bergurau menjual pisang di lelongan adalah perkara paling aneh yang pernah dilakukannya.

Sotheby mendedahkan, Justin Sun, seorang pengumpul karya seni kelahiran China dan pengasas platform mata wang kripto memperoleh karya itu.

“Ini bukan sekadar karya seni. Ia mewakili fenomena budaya yang menghubungkan dunia seni, meme dan komuniti mata wang kripto. 

“Saya percaya karya ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak pemikiran dan perbincangan pada masa hadapan dan akan menjadi sebahagian daripada sejarah,” kata Sun dalam satu kenyataan media.

Sebagai pembida yang menang, Sun akan menerima segulung pita pelekat, sebiji pisang serta sijil ketulenan bersama arahan rasmi cara menggantikan buah itu apabila ia rosak.

Sun yang mengasaskan perkhidmatan tukaran wang kripto, Tron, memaklumkan berhasrat untuk ‘memakan’ hasil pelaburannya itu.

“Dalam beberapa hari lagi, saya akan makan pisang itu sebagai sebahagian daripada pengalaman artistik yang unik ini, menghormati tempatnya dalam sejarah seni dan budaya popular,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya