ANKARA: Enjin sebuah pesawat Russia yang membawa 95 individu terbakar sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antalya, selatan Turkiye, semalam.
Walau bagaimanapun, kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat.
Menurut Kementerian Pengangkutan Turkiye, pesawat jenis Sukhoi Superjet 100 milik syarikat penerbangan Azimuth Airlines itu berlepas dari Sochi dengan membawa 89 penumpang dan enam anak kapal.
Juruterbang membuat panggilan kecemasan selepas pesawat tersebut mendarat pada pukul 9.34 malam waktu tempatan.
Pasukan penyelamat dan bomba lapangan terbang bertindak pantas memadamkan kebakaran di enjin pesawat, kata kenyataan itu.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut, namun punca kebakaran belum diketahui.
Rakaman video yang dikongsikan laman berita penerbangan Airport Haber memaparkan api marak dari bahagian kiri pesawat, sementara pasukan kecemasan memadamkan kebakaran.
Penumpang dilihat meninggalkan pesawat melalui gelongsor kecemasan, dan sebahagian yang lain dilihat membawa barangan peribadi.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan usaha sedang dijalankan untuk mengalihkan pesawat dari landasan.
Ketibaan penerbangan di lapangan terbang tersebut ditangguhkan buat sementara waktu, namun penerbangan keluar diteruskan menggunakan landasan yang dikendalikan pihak tentera. -AGENSI