HAMPSHIRE : Seorang pesara berusia 80 tahun dikenakan denda selepas ayam jantan peliharaannya membuat bising menyebabkan jiran-jiran di kawasan kediamannya ‘terseksa’ kerana terjaga seawal pukul 3 pagi.
Ayam jantan yang menjadi ‘gangguan’ itu telah direkodkan oleh pegawai kesihatan alam sekitar dengan bunyi kokok setiap minit selama satu setengah jam selepas beberapa penduduk mengadu mengenai bunyi yang berterusan dari taman rumahnya.
Harold Brown, yang tinggal di kawasan kediaman di hujung New Forest di Hampshire, mendakwa di mahkamah, bunyi tersebut lebih mirip kepada raungan daripada kokokan ayam jantan tradisional.
Namun, enam orang jiran dari kawasan cul-de-sac tersebut hadir di Mahkamah Majistret Southampton untuk memberikan keterangan mengenai bunyi yang benar-benar mengganggu mereka.
Mereka memberitahu mahkamah, bagaimana penduduk sekitar terpaksa mengelak daripada bahagian rumah tertentu untuk menghindari bunyi ‘kokokan’ yang jelas dan ketara serta hampir setiap pagi berlaku.
Seorang jiran berkata, anak perempuannya yang bekerja sepenuh masa terpaksa mendapatkan rawatan doktor kerana gangguan tidur akibat sering terjaga akibat bunyi ayam jantan tersebut.
Mr. Brown, yang mewakili dirinya sendiri dalam prosiding mahkamah, menafikan bukti tersebut dan mendakwa terdapat konspirasi dari kalangan penduduk dan Majlis Daerah New Forest (NFDC) terhadapnya.
Pesara itu didapati bersalah kerana gagal mematuhi notis pengurangan bunyi dan dikenakan denda sebanyak 200 pound (RM 1,134)
Selain itu, beliau juga diarahkan untuk membayar kos guaman sebanyak 300 pound (RM 1,700) dan surcaj 80 pound (RM453). -AGENSI