ISLAMABAD: Ibu negara Pakistan, Islamabad diletakkan di bawah sekatan keselamatan bagi menghalang penyokong bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan, Imran Khan mengadakan perarakan ke ibu negara.
Perarakan itu diadakan sebagai sebahagian daripada protes nasional bagi menuntut pembebasan pemimpin itu.
Pihak berkuasa bertindak menggantung perkhidmatan telefon bimbit dan internet di ‘kawasan yang berisiko diancam keselamatan’, serta menyekat lebuh raya yang menghubungkan Islamabad menjelang protes ‘seruan terakhir’ yang dianjurkan oleh parti pembangkang, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).
Kebanyakan jalan utama di Islamabad juga disekat oleh pihak kerajaan dengan penggunaan kontena penghantaran, sementara pasukan polis dan separa tentera yang lengkap dengan peralatan pelindung diri dikerahkan menghalang perarakan tersebut yang menuju ke Parlimen.
Polis Islamabad berkata, perhimpunan dalam apa jua bentuk telah diharamkan di bawah peruntukan undang-undang.
PTI menuntut pembebasan semua pemimpin parti, termasuk Imran, serta peletakan jawatan Kerajaan semasa yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Shehbaz Sharif berikutan dakwaan mengenai penipuan dalam pilihan raya yang berlangsung awal tahun ini.
Perkhidmatan WhatsApp juga dilaporkan sudah disekat oleh pihak berkuasa, menurut pemerhati internet global, NetBlocks.
Pihak berkuasa turut mengenakan larangan terhadap platform media sosial dan perkhidmatan VPN.
Bulan lalu, perkhidmatan telefon bimbit digantung di Islamabad dan Rawalpindi untuk menghalang perhimpunan pro-Imran, yang turut mengganggu komunikasi dan perkhidmatan harian seperti perbankan dan penghantaran makanan.
Pihak berkuasa memaklumkan perkhidmatan komunikasi akan beroperasi seperti biasa di seluruh negara kecuali kawasan-kawasan tertentu yang berisiko.
Imran yang digulingkan dari jawatan Perdana Menteri pada 2022 melalui undi tidak percaya, kini berdepan pelbagai tuduhan, termasuk hasutan dan keganasan yang dituduh sebagai konspirasi politik. -AGENSI