SYDNEY : Seekor penguin emperor yang ditemukan dalam keadaan keletihan jauh dari habitat asalnya di Antartika kini sedang menerima rawatan daripada seorang pakar hidupan liar.
Penguin jantan dewasa yang diberi nama Gus itu ditemukan 1 November lalu, di sebuah pantai popular di bandar Denmark, di selatan barat Australia, kira-kira 3,500 kilometer dari perairan sejuk di pantai Antartika.
Spesies penguin terbesar ini tidak pernah dilaporkan berada di Australia sebelum ini, kata rakan penyelidik Universiti Australia Barat, Belinda Cannell, walaupun beberapa penguin emperor pernah ditemukan di New Zealand, yang kebanyakannya terletak lebih selatan daripada Australia Barat.
Cannell berkata, beliau tidak pasti mengapa penguin tersebut sampai ke Denmark.
Penguin itu setinggi satu meter dan pada mulanya beratnya adalah 23 kilogram (kg), namun berat normal penguin jantan dewasa boleh mencecah lebih 45 kg.
Jabatan Pemuliharaan dan Tarikan Negeri Australia Barat memaklumkan usaha kini ditumpukan kepada pemulihan penguin tersebut.
Ketika ditanya sama ada penguin itu berpotensi dikembalikan ke Antartika, jabatan itu menjawab ‘pilihan masih sedang dikaji’.
Penguin emperor merupakan penguin terbesar di dunia, dikenali dengan rupa ikonik dan ‘sikap yang agung’, dan mereka biasanya hidup di rak ais Antartika, beribu-ribu batu jauhnya dari pantai-pantai di Australia.
Pakar-pakar masih tidak pasti bagaimana penguin emperor yang tiba di Australia Barat itu boleh tersesat begitu jauh, lapor 9News, sebuah saluran berita Australia.
Pihak berkuasa berharap dapat membawa pulang penguin jantan itu ke habitat asalnya.
Denmark, Australia Barat, terletak di hujung barat daya Australia dan bertentangan dengan bandar Sydney di sebelah timur negara itu. -AGENSI