WASHINGTON: Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) bakal menggugurkan dua kes jenayah persekutuan terhadap Presiden terpilih, Donald Trump membabitkan pembatalan kekalahannya dalam pilihan raya 2020 dan pengendalian dokumen sulit kerajaan.
Langkah pendakwa raya yang bekerja dengan Peguam Khas, Jack Smith dalam kedua-dua kes itu mewakili kemenangan besar undang-undang bagi Presiden terpilih Republikan itu, yang memenangi pilihan raya AS pada 5 November dan akan kembali memegang jawatan pada 20 Januari.
Dasar Jabatan Kehakiman yang dipetik oleh pihak pendakwa bermula sejak tahun 1970-an.
Ia berpendapat pendakwaan jenayah terhadap Presiden yang sedang berkhidmat akan melanggar Perlembagaan AS dengan menjejaskan keupayaan ketua eksekutif negara itu untuk berfungsi.
Mahkamah masih perlu meluluskan kedua-dua permintaan daripada pendakwa raya.
Pendakwa raya dalam pemfailan kes subversif pilihan raya berkata, dasar jabatan itu memerlukan kes itu ditolak sebelum Trump kembali ke Rumah Putih.
“Keputusan ini tidak berdasarkan merit atau kekuatan kes terhadap defendan,” tulis pendakwa dalam pemfailan.
Pejabat Smith juga bertindak untuk menamatkan percubaannya menghidupkan semula kes yang menuduh Trump menyimpan dokumen sulit secara haram ketika meninggalkan jawatan pada 2021.
Pendakwa raya memberi isyarat pihaknya masih akan meminta mahkamah rayuan persekutuan untuk mengembalikan kes terhadap dua rakan Trump yang telah dituduh menghalang siasatan itu.-REUTERS