Pencemaran udara punca 1.5 juta kematian setahun

Pencemaran udara punca 1.5 juta kematian setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pencemaran udara yang disebabkan oleh kebakaran menyebabkan lebih 1.5 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia, dengan sebahagian besar berlaku di negara membangun.

Menurut kajian dalam jurnal The Lancet, jumlah kematian itu dijangka meningkat pada tahun akan datang kerana perubahan iklim menjadikan kebakaran hutan lebih buruk dan kerap berlaku.

Pasukan penyelidik antarabangsa melihat data sedia ada mengenai ‘kebakaran landskap’, merangkumi kebakaran hutan serta kebakaran yang dirancang seperti pembakaran terkawal di tanah pertanian.

Kira-kira 450,000 kematian setahun akibat penyakit jantung yang dikaitkan dengan pencemaran udara berkaitan dengan kebakaran antara tahun 2000 hingga 2019, kata penyelidik.

Sebanyak 220,000 lagi kematian akibat penyakit pernafasan dikaitkan dengan asap dan zarah yang dilepaskan ke udara melalui kebakaran.

Daripada semua punca di seluruh dunia, sejumlah 1.53 juta kematian setiap tahun dikaitkan dengan pencemaran udara daripada kebakaran landskap, menurut kajian itu. 

Lebih 90 peratus kematian berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana, dengan hampir 40 peratus di Afrika sub-Sahara sahaja.

Negara yang mempunyai angka kematian tertinggi ialah China, Republik Demokratik Congo, India, Indonesia dan Nigeria.

Rekod jumlah pembakaran haram di ladang utara India, turut menyumbang kepada ‘kabus beracun’ yang menyelubungi ibu negara, New Delhi.

Pengarang kajian The Lancet turut menggesa tindakan segera diambil bagi menangani peningkatan jumlah kematian akibat kebakaran landskap.

Katanya, jurang antara negara kaya dan miskin menyerlahkan lagi ‘ketidakadilan iklim’, dengan negara paling sedikit menyumbang kepada pemanasan global teruk terkesan.

Sehubungan itu, kajian menggesa supaya lebih banyak sokongan kewangan dan teknologi diberikan kepada negara paling teruk terjejas.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya