RIYADH: Pemimpin negara Arab dan Islam yang menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh bagi membincangkan peperangan Israel di Gaza dan Lubnan mencapai kata sepakat berhubung pergolakan di negara itu.
Kesemua pemimpin menzahirkan kepentingan perjuangan Palestin dan menyatakan sokongan padu mereka terhadap rakyat Palestin serta usaha mencapai hak nasional mereka yang sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Hak-hak ini termasuk kebebasan serta hak untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya, hak untuk pulang bagi pelarian, mendapatkan pampasan yang sepatutnya selaras resolusi antarabangsa.
Para pemimpin itu juga mengesahkan sokongan terhadap kedaulatan penuh negara Palestin terhadap Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
Jelas kesemua pemimpin itu, Baitulmuqaddis kekal sebagai garis merah bagi negara-negara Arab dan Islam serta menyatakan solidariti mutlak dalam melindungi identiti Arab dan Islam Baitulmuqaddis Timur yang diduduki dan mempertahankan kesucian tapak suci bagi umat Islam dan Kristian. -ARAB NEWS