PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bakal mempertaruhkan gabungan pemain muda dan senior bagi mengharungi saingan Piala ASEAN 2024 yang dijadualkan bermula 8 Disember ini.
Berdasarkan senarai nama yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), seramai lima pemain muda diberikan kepercayaan untuk beraksi di kejohanan tersebut.
Antara pemain muda yang disenaraikan adalah Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, Najmudin Akmal Kamal Akmal, Daryl Sham George dan Muhammad Abu Khalil.
Skuad berkenaan turut menampilkan muka baharu lain seperti Danial Amier Norhisham, Jimmy Raymond dan Harith Samsuri.
“Pasukan ini menampilkan gabungan seimbang pemain berpengalaman dan muda iaitu dengan lapan pemain berusia 23 tahun ke bawah. Purata umur skuad ialah 25.9 tahun.
“Ini adalah pilihan pasukan terbaik yang dapat dikumpulkan memandangkan cabaran yang dihadapi bagi kejohanan ini yang diadakan di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA.
“Dalam tempoh ini juga, Liga Malaysia akan diteruskan seperti yang dijadualkan, sekali gus menambah kerumitan untuk mendapatkan pemain,” jelas kenyataan itu.
Piala ASEAN 2024 meyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste.
Kumpulan B menampilkan naib juara edisi terdahulu, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.
Juara dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir kejohanan itu.
Skuad Harimau Malaya dijadual melapor diri di Kelana Jaya pada Khamis ini sebelum berlepas ke Phnom Penh, bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada 8 Disember.
Seterusnya, mereka akan pulang ke tanah air untuk perlawanan kedua menentang Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember sebelum berlepas ke Bangkok bagi perlawanan menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok tiga hari kemudian.-UTUSAN