VIENTIANE: Seorang remaja Australia maut selepas mengambil minuman alkohol tercemar di bandar Vang Vieng di Laos.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kematian meningkat kepada empat orang dalam insiden keracunan itu.
Jelasnya, Bianca Jones, 19, meninggal dunia selepas dipindahkan dari Laos untuk menerima rawatan di hospital Thailand.
Rakan sebayanya juga masih dirawat di hospital sama.
“Ini adalah ketakutan terburuk setiap ibu bapa dan mimpi ngeri yang tidak perlu ditanggung oleh sesiapa pun,” kata Albanese kepada penggubal undang-undang di Parlimen.
Rangkaian media Australia, ABC News melaporkan rakan Bianca, Holly Bowles sedang menerima mesin bantuan hidup di Hospital Bangkok.
Kedua-dua wanita Australia itu jatuh sakit sejak 13 November lalu, selepas keluar minum malam secara berkumpulan.
Mangsa dipercayai mengambil minuman yang dicemari metanol, yang kadangkala digunakan sebagai alkhol dalam minuman campuran di bar yang tidak bereputasi dan boleh menyebabkan keracunan teruk atau kematian. -AP