BEIJING : Sebuah kenderaan merempuh sekumpulan murid dan pejalan kaki di luar pekarangan sebuah sekolah rendah di Wilayah Hunan, China, pagi semalam, sehingga mengakibatkan beberapa mangsa cedera.
Kejadian itu meningkatkan kebimbangan orang ramai berikutan rentetan serangan ganas yang berlaku di negara itu, minggu lalu.
Menurut laporan media rasmi China, CCTV, insiden berlaku di luar Sekolah Rendah Yongan di bandar Changde, ketika murid-murid sedang memasuki kawasan sekolah untuk sesi persekolahan.
Bilangan mangsa cedera belum dikenal pasti, dan punca kejadian belum jelas sama ada akibat kecuaian atau sengaja dilakukan.
Rakaman video pendek yang tular dalam media sosial China memaparkan kanak-kanak berlari ketakutan di luar sekolah sambil menjerit, ‘Selamatkan kami.’
Dalam rakaman lain, seorang lelaki dilihat dipukul oleh orang ramai menggunakan kayu sebelum ditahan pihak berkuasa.
Kejadian ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang pemandu melanggar orang ramai di sebuah pusat sukan di Zhuhai, selatan China, mengakibatkan 35 maut dan 43 cedera parah.
Dalam insiden lain di Wuxi, bekas pelajar sebuah kolej vokasional bertindak menikam lapan individu hingga maut.
Pihak polis berkata, serangan di Zhuhai didalangi seorang lelaki yang berang dengan keputusan perceraian, manakala kes Wuxi pula dipercayai melibatkan bekas pelajar yang mempunyai tekanan emosi.
Rentetan insiden ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat China mengenai peningkatan tekanan ekonomi dan sosial serta kekurangan sokongan kesihatan mental di negara tersebut.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan terhadap insiden terbaharu ini dan meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan. -AGENSI