PORT-AU-PRINCE: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memulakan langkah pemindahan stafnya dari ibu negara Haiti, Port-au-Prince, berikutan pertempuran sengit antara kumpulan bersenjata, polis dan penduduk awam bersenjatakan parang yang semakin memuncak sejak beberapa hari lalu.
Sebuah helikopter PBB memindahkan staf secara berperingkat pada Isnin, dengan 14 orang pada satu-satu masa, dari ibu negara ke bandar utara, Cap-Haitien.
Sebahagian mereka dijadualkan meninggalkan negara itu melalui penerbangan susulan.
Langkah itu diambil selepas lapangan terbang antarabangsa utama di Port-au-Prince ditutup berikutan serangan tembakan terhadap pesawat komersial semasa mendarat dan berlepas, awal bulan ini.
Menurut sumber diplomatik dan keselamatan, operasi pemindahan itu turut melibatkan staf kedutaan asing dan agensi bantuan lain.
Dalam satu kenyataan, PBB menegaskan pihaknya sedang ‘menyesuaikan operasi’, dengan sebahagian staf dipindahkan ke kawasan lebih selamat dalam negara, manakala yang lain bekerja dari luar Haiti.
“PBB tidak meninggalkan Haiti. Komitmen kami kepada rakyat Haiti tetap utuh.
“Kami hanya mengurangkan kehadiran di ibu negara buat sementara waktu. Program kemanusiaan penting di Port-au-Prince serta sokongan kepada rakyat dan pihak berkuasa Haiti akan diteruskan,” kata Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric.
Doctors Without Borders (MSF), baru-baru ini, mengumumkan penggantungan operasi rawatan kritikal di Port-au-Prince selepas mendakwa staf dan pesakitnya menjadi sasaran polis, termasuk ancaman rogol dan bunuh.
Sementara itu, organisasi Food for the Poor (FFTP) melaporkan gangguan oleh kumpulan bersenjata menyukarkan penghantaran bekalan makanan, dengan sekatan jalan raya dan lapangan terbang tertutup menghalang akses ke pelabuhan utama. -AGENSI