PATI menyamar sebagai pelanggan, sorok dalam tandas elak ditahan

PATI menyamar sebagai pelanggan, sorok dalam tandas elak ditahan

JABATAN Imigresen Malaysia Selangor melakukan pemeriksaan 52 warga asing di premis perniagaan di Mentari Court.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) menyamar sebagai pelanggan selain menyorok dalam tandas untuk mengelak daripada ditangkap tidak berjaya selepas mereka ditahan dalam serbuan di premis perniagaan di Mentari Court di sini pada Selasa lalu.

PATI itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota dari Jabatan Imigresen Malaysia Selangor kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dijalankan susulan aduan orang awam berkaitan dakwaan kononnya berlaku lambakan warga asing di kawasan terbabit.

Kata beliau, seramai 52 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga asing diperiksa dalam operasi itu.

“Operasi dikenali Op Kutip, Op Selera, Op Dandan dan Op Belanja dijalankan secara mengejut di lokasi premis perniagaan di kawasan perumahan itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pelanggaran melibatkan Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, menerusi serbuan sama, seramai 26 PATI ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, Sri Lanka, India, Nigeria dan Ivory Coast.

“Kesemua mereka didapati melakukan beberapa kesalahan antaranya tidak memiliki permit atau pas yang sah untuk tinggal di negara ini, tinggal lebih masa dan melanggar syarat permit atau pas.

“Risikan dijalankan selama dua minggu mendapati kawasan premis perniagaan ini sememangnya menjadi antara lokasi tumpuan warga asing,” jelasnya.

Tambah beliau, rata-rata warga asing ini bekerja sebagai pembantu kedai runcit, pekerja restoran, tukang gunting rambut dan pekerja kedai telekomunikasi.

“Kehadiran warga asing ini didakwa semakin bertambah ini menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan.

“Kesemua PATI berusia 29 hingga 40 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya