Pasukan penyelamat teruskan misi cari mangsa banjir di Valencia

Pasukan penyelamat teruskan misi mencari mangsa banjir di Valencia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VALENCIA: Pasukan penyelamat bertungkus-lumus memasuki garaj-garaj yang ditenggelami air untuk mencari mangsa banjir paling dahsyat di Sepanyol dalam tempoh beberapa generasi, ketika hujan lebat berterusan mencetuskan gangguan sistem pengangkutan di wilayah timur laut Catalonia.

Setakat ini, seramai 217 orang disahkan terkorban, hampir kesemuanya di wilayah timur Valencia dan negara tersebut terus dibayangi kebimbangan apabila lebih banyak mayat mungkin ditemukan memandangkan masih ada individu yang dilaporkan hilang.

Perkhidmatan cuaca negara, AEMET, mengumumkan berakhirnya amaran kecemasan di Valencia, namun hujan lebat melanda Catalonia, menyebabkan penduduk menerima amaran melalui telefon untuk sentiasa berwaspada.

Lapangan Terbang El Prat di Barcelona, lapangan terbang kedua paling sibuk di Sepanyol, mengumumkan 50 penerbangan dibatalkan atau ditunda, sementara 17 penerbangan dialihkan ke destinasi lain pada Isnin, manakala stesen metro di bandar itu ditutup dan perkhidmatan kereta api serantau turut digantung.

Gambar-gambar dalam media sosial menunjukkan kenderaan meredah jalan raya yang ditenggelami air di pinggir bandar Barcelona seperti Castelldefels dan Gava, sementara pelancong berjalan berkaki ayam di Lapangan Terbang El Prat yang dinaiki air.

Beribu-ribu anggota tentera, polis, pengawal awam dan bomba menghabiskan masa selama enam hari mengagihkan bantuan dan membersihkan lumpur serta serpihan untuk mencari mayat.

Namun, kerja-kerja bantuan hanya tiba di sesetengah bandar beberapa hari selepas bencana dan kebanyakan masa, sukarelawan adalah yang pertama menyediakan makanan, air, keperluan sanitasi serta peralatan pembersihan.

Pada Isnin, penyelamat menumpukan usaha mencari mayat di garaj dan tempat letak kereta bertingkat di bandar Aldaia.

Ribut tersebut telah memerangkap ramai mangsa dalam kenderaan di jalan raya dan ruang bawah tanah seperti tempat letak kereta, terowong serta garaj yang menyukarkan operasi menyelamat.

Ribut dari Laut Mediterranean adalah fenomena biasa pada musim ini, namun, saintis memberi amaran perubahan iklim akibat manusia meningkatkan kekerapan dan intensiti fenomena cuaca ekstrem. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya