WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetus ketidaktentuan pasaran antarabangsa selepas memberi amaran akan mengenakan tarif baharu yang besar ke atas China, Mexico dan Kanada pada hari pertama pentadbirannya.
Tindakan itu, sekali gus membenam harapan untuk melihat pendekatan lebih sederhana terhadap dasar perdagangan negara itu.
Dalam akaun Truth Social miliknya, Trump mengumumkan mahu meningkatkan 25 peratus tarif ke atas Mexico dan Kanada serta tambahan 10 peratus tarif ke atas China.
UMUM PROVOKASI BAHARU
Tegasnya, langkah itu akan kekal sehingga pencerobohan pendatang tanpa izin dan isu dadah berakhir.
“Pada 20 Januari, sebagai satu daripada banyak Perintah Eksekutif pertama saya, saya akan menandatangani semua dokumen yang diperlukan untuk mengenakan tarif 25 peratus kepada Mexico dan Kanada ke atas semua produk yang masuk ke AS dan sempadan terbuka yang tidak masuk akal.
“Kedua-dua Mexico dan Kanada mempunyai hak dan kuasa mutlak untuk menyelesaikan masalah yang membara ini dengan mudah.
“Kami dengan ini menuntut mereka menggunakan kuasa ini dan sehingga masa mereka melakukannya, sudah tiba masanya untuk mereka membayar harga yang sangat besar!” tulisnya.
Dalam catatan lain, Trump menambah akan mengenakan tarif 10 peratus kepada China, melebihi mana-mana tarif tambahan ke atas semua produknya yang memasuki AS, memetik kegagalan Beijing untuk menangani penyeludupan fentanyl.
Jika dikuatkuasakan, tarif itu bakal meningkatkan lagi perang perdagangan dengan China dan menghidupkan semula inflasi AS.
“Dalam pengembalian yang ketara kepada dasar tegas, Trump telah meningkatkan ketegangan secara mendadak dengan janji keterlaluan untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua import dari Kanada dan Mexico sebaik beliau tiba di Rumah Putih.
“Pengumuman itu menghancurkan sebarang harapan bahawa pelantikan Scott Bessent sebagai Setiausaha Perbendaharaan mungkin akan membawa kepada era kesederhanaan.
“Pada mulanya dipuji sebagai mercu kestabilan, tetapi pengaruh Bessent kini kelihatan dibayangi oleh kebangkitan semula doktrin ‘America First’ Trump yang tidak berkompromi, yang dengan jelas mengecualikan sekutu terdekat daripada pelindungnya,” kata pakar ekonomi, Stephen Innes dari Pengurusan Aset SPI.
CETUS KETIDAKTENTUAN PASARAN
Pengumuman itu mencetuskan penjualan di kebanyakan pasaran Asia, walaupun Hong Kong dan Shanghai maju dalam bursa awal.
Mata wang termasuk dolar Kanada, peso Mexico, euro, pound Britain, won Korea dan dolar Australia jatuh berbanding dolar AS.
Dolar melonjak lebih daripada satu peratus berbanding nilai setara dengan Kanada dan peso Mexico serta yuan China.
Kebanyakan indeks saham utama Asia jatuh, dengan Nikkei 225 Jepun mendahului kerugian dengan penurunan 1.59 peratus setakat pukul 2 petang (waktu tempatan).
Perdana Menteri Ontario, Doug Ford berkata tarif yang dicadangkan akan memusnahkan industri pekerja dan pekerjaan di kedua-dua negara.
Sementara itu, Perbadanan Penyiaran Kanada menyifatkan pengumuman Trump sebagai ancaman paling teruk terhadap Ottawa dalam tempoh beberapa tahun.
Kedutaan China di Washington berkata, tiada sesiapa akan memenangi perang perdagangan antara kedua-dua pihak.
Jika dilaksanakan, tarif yang dicadangkan ke atas Mexico dan Kanada itu bakal menimbulkan persoalan tentang masa depan Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA).
Perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani oleh Trump itu sebahagian besarnya mengekalkan peruntukan pra-Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) sedia ada.
“Nampaknya perubahan tarif Trump boleh menamatkan NAFTA mengikut definisi kerana ia adalah perjanjian perdagangan bebas antara AS, Kanada dan Mexico.
“Trump berkata ia berdasarkan pengharaman dadah fentanyl tetapi barangan bukan fentanyl akan terperangkap dalam pertempuran silang kesan penguatkuasaan tarif tersebut,” kata Ketua Ekonomi Institut Dasar dan Tadbir Urus Awam Universiti Teknologi Sydney, Tim Harcourt kepada Al Jazeera.
Ramai ahli ekonomi memberi amaran cadangan Trump untuk menguatkuasakan tarif tersebut akan meningkatkan kos barangan harian di AS dan melembapkan pertumbuhan global.
Namun penyokong Trump berhujah bahawa tarif akan menggalakkan pekerjaan pembuatan dari luar negara kembali ke AS dan memberikan pentadbirannya kelebihan besar untuk mengekstrak tawaran perdagangan yang lebih menguntungkan dari negara lain.