PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mengegarkan bumi Shenzen selepas bangkit menumbangkan pilihan kedua pada aksi pusingan kedua, China Masters 2024, sebentar tadi.
Turun selaku beregu bukan pilihan, gandingan No. 23 dunia itu bermandi peluh untuk menewaskan pasangan tuan rumah, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 16-21 21-14 21-19 dalam tempoh 51 minit pada kejohanan berstatus Super 750 berkenaan.
Kemenangan itu mengurangkan jurang pertemuan mereka 2-1 selepas tewas kepada pasangan China berkenaan sebanyak dua kali pada musim ini menerusi Terbuka Denmark dan Australia.
Menunggu di suku akhir esok, Pang Ron-Su Yin akan bertemu pasangan Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui bagi penentuan ke separuh akhir.
Sementara itu, beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mara ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Perancis.
Pilihan keempat itu bangkit dari kekalahan set pertama untuk menyingkirkan Gicquel Thom-Delrue Delphine 14-21 23-21 21-8 dalam tempoh 65 minit.
Beregu No. 10 dunia itu seterusnya akan menentang pasangan tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui di Arena Shenzen, esok.
Ceritanya berbeza untuk pasangan campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien apabila tewas kepada pilihan ketiga kejohanan, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.
Gandingan No. 39 dunia bermula cemerlang pada set pertama namun terpaksa akur dengan kekuatan pasangan dari Hong Kong itu menerusi keputusan 17-21 21-15 21-9 dalam tempoh 54 minit. – UTUSAN