KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin melakar kejutan apabila akan membuat penampilan pertama pada final kejohanan Super 750 di Masters China, hari ini.
Pang Ron-Su Yin mara ke final selepas menewaskan pasangan No.7 dunia yang juga pilihan ketiga dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-14, 17-21, 21-19 di Arena Shenzhen, semalam.
Pada aksi final hari ini, beregu No. 23 dunia itu dijadualkan bertemu dengan pasangan tuan rumah yang juga pilihan utama kejohanan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Berdasarkan rekod pertemuan, ia memihak kepada pasangan tuan rumah itu apbial Pan Ron- Su Yin tewas pada suku akhir Terbuka Hong Kong, September lalu.
Pang Ron berkata, beliau bersama Su Yin akan ‘mengkaji’ permainan gandingan tuan rumah itu dan berharap akan membuahkan hasil pada aksi perlawanan akhir hari ini.
“Perlawanan esok (hari ini) sangat sukar. Main di tempat mereka sudah tentu mereka akan tampil dengan lebih kuat. Jadi kami perlu banyak belajar dengan strategi permainan mereka dan berkomunikasi dengan jurulatih.
“Sebelum ini kami tewas kepada mereka pada pertemuan sulung. Sudah tentu kami mahu mengatasi diri kami sendiri dan mahu bertenang ketika berdepan dengan mata penting supaya meningkatkan keyakinan kami,” kata Pang Ron kepada BWF.
Untuk rekod, ini merupakan kali pertama pasangan negara mara ke perlawanan akhir selepas terkandas sebanyak dua kali pada perlawanan separuh akhir musim ini di Terbuka Macau dan Masters Orleans.
“Bagi saya, ia memang sukar dipercayai. Ini adalah final pertama saya selepas bertahun-tahun mencuba dengan pasangan lain sebelum ini dan saya sangat gembira dengan pencapaian ini.
“Sudah tentu, kami bukan beregu pilihan dan tiada tekanan tinggi sebaliknya kami hanya ingin melakukan yang terbaik dan menunjukkan kepada penonton apa yang kami ada,” katanya.
Sementara itu, hasrat beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk bertemu rakan senegara di final tidak kesampaian apabila tewas 21-18, 21-13 di tangan Yan Zhe-Dong Ping.- UTUSAN