SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyeru orang ramai supaya kekal bertenang dan bersatu susulan insiden tikaman terhadap seorang paderi di Gereja St. Joseph, di Bukit Timah, semalam.
Beliau menggesa orang ramai untuk saling menyokong antara satu sama lain dalam semangat muhibah dan penuh keharmonian.
Tegasnya, keganasan tiada ruang dan mempunyai tempat di negara ini.
“Sangat terkejut dan sedih apabila mendengar seorang paderi, Father Christopher Lee ditikam di Gereja St. Joseph.
“Kami mendoakan agar beliau kembali sembuh sepenuhnya.
“Paling penting, kita mesti menjaga keselamatan dan kesucian tempat ibadat, iaitu tempat orang ramai mencari keamanan, ketenangan dan komuniti,” tulisnya dalam media sosial.
Dalam kejadian semalam, Lee diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau kira-kira pukul 5.30 petang.
Orang ramai yang berada di lokasi kejadian berjaya melucutkan senjata suspek sebelum ditahan oleh pihak polis.
Suspek merupakan seorang lelaki Singapura berusia 37 tahun yang mempunyai kesalahan berkaitan dadah.
Berdasarkan siasatan awal, pihak polis percaya suspek bertindak bersendirian dan serangan itu bukan tindakan pengganas. -CNA