PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini menjurus kepada cara wang pelaburan diterima FashionValet dibelanjakan dengan betul dan mematuhi perjanjian ditetapkan atau sebaliknya.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya tidak menjangkakan siasatan terhadap FashionValet, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Justeru, katanya, pengasas platform e-dagang FashionValet iaitu Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan terus dipanggil memberi keterangan.
“Jadi saya tak jangka untuk hari ini katakan selesai, saya jangka pegawai penyiasat akan memanggil mereka kembali ke pejabat untuk membantu siasatan.
“Ia (siasatan) akan ambil masa kerana ia melibatkan isu akaun dan keputusan-keputusan berkaitan korporat. Ia akan ambil masa sikit dan saya rasa tak dapat siap dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, beliau juga mengesahkan bahawa pasangan itu telah dipanggil semula untuk direkod keterangan di Ibu Pejabat SPRM esok.
Azam berkata, mereka akan dipanggil untuk membantu siasatan dan dijangka berterusan untuk beberapa hari lagi.
Menurutnya, beberapa pemeriksaan di premis akan dilakukan termasuk memanggil beberapa saksi lain daripada Khazanah dan PNB serta beberapa pihak lain.
“Buat masa ini, kita belum lagi panggil saksi baru sebaliknya kita fokus kepada pasangan ini dulu barulah bergerak kepada saksi-saksi lain.
“Kami juga akan menyiasat apa tindakan Khazanah dan PNB susulan laporan kerugian direkodkan FashionValet antara 2018 hingga 2023,” katanya.
Ditanya sama ada pasangan itu akan ditahan dalam masa terdekat, Azam berkata, perkara itu terpulang kepada pegawai penyiasat.
Terdahulu, Vivy dan suaminya hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk hari keempat hari ini bagi memberi keterangan kepada SPRM susulan laporan kerugian pelaburan dana Khazanah dan PNB dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta. – UTUSAN