TOKYO: Nissan Motor akan memberhentikan atau memindahkan kira-kira 1,000 pekerja di Thailand berikutan pelan pengurangan tenaga kerja global dan langkah mengecilkan pengeluaran di Asia Tenggara.
Menurut sumber, Nissan bercadang untuk menghentikan sebahagian pengeluaran di Loji 1 dan menyatukan operasi ke Loji 2 menjelang September tahun depan.
Kedua-dua kilang pemasangan kereta tersebut berada di wilayah Samut Prakan di pinggir Bangkok.
Jurucakap Nissan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Pengeluar kereta Jepun yang bergelut dengan pasaran awal bulan ini mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 9,000 pekerjaan di seluruh dunia selepas mencatatkan pendapatan setengah tahun yang lebih buruk daripada jangkaan.
Di Amerika Syarikat (AS), kira-kira 1,000 kakitangan akan meninggalkan Nissan menjelang akhir tahun ini dengan menerima pakej persaraan awal.
Loji 1 mempunyai kapasiti pengeluaran kira-kira 220,000 unit, manakala Loji 2 mempunyai kapasiti 150,000 unit, menjadikan Thailand hab pengeluaran terbesar Asia Tenggara bagi syarikat itu.
Jualan Nissan di Thailand susut 30 peratus pada tahun kewangan 2023 kepada kira-kira 14,000 unit.
Walaupun pembuat kereta Jepun, termasuk Toyota dan Honda telah menguasai pasaran Thailand selama bertahun-tahun, pengeluar China seperti BYD dan SAIC muncul pantas dengan pilihan kenderaan elektrik (EV).
Kedua-dua kilang Thailand itu juga telah mengeluarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) eksport seperti Kicks untuk negara Asia Tenggara yang lain sementara Terra pula bagi pasaran Asia Barat serta Afrika.-REUTERS