PETALING JAYA: Skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A meneruskan rentak kemenangan dalam kategori bawah 12 tahun (B-12) Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 selepas menewaskan kelab dari Thailand, Pattaya United, 3-0 pada aksi di Padang A, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, semalam.
Dua gol diledak Badrul Hazim Hazimi dan satu daripada Putra Rayyan Zaftran pada separuh masa kedua sudah cukup buat skuad kendalian Abdul Ghani Malik meraih mata penuh selepas dua perlawanan.
Keputusan itu juga mengulangi prestasi perlawanan pertama ketika berdepan Singapore FA dengan kemenangan bergaya, 5-2.
Bagi Abdul Ghani, kemenangan kedua diraih memberikan motivasi penuh untuk pasukan memburu tiga mata berdepan kelab dari Indonesia, Asiop Academy, hari ini.
“Syukur Alhamdulillah apa yang dirancang berjaya diterjemahkan barisan pemain dengan usaha yang berterusan sehingga gol berjaya dihasilkan.
“Saya selalu ingatkan pemain agar jangan mudah putus asa dan teruskan mencuba sehingga menjadi kenyataan, akhirnya tiga gol berjaya dijaringkan pada separuh masa kedua,” katanya.
Ujarnya, berdepan kelab dari Indonesia pada perlawanan ketiga, sudah tentu kemenangan hatrik menjadi sasaran.
“Mengatasi Pattaya United (3-0) menaikkan motivasi buat pemain dan memberi peluang buat saya menurunkan pemain-pemain yang belum beraksi untuk melihat serta menilai kemampuan mereka. Sebenarnya semua pemain kita mampu menggalas tugas yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Pattaya United, Chokchai Tespan menyifatkan bukan tugas mudah buat barisan pemainnya berdepan NFDP A.
“Pemain saya agak tertekan dengan corak pemain lawan (NFDP A) dan dapat dilihat gagal menembusi bahagian tengah menyebab kami banyak bertahan.
“Kualiti permainan lawan hari ini (semalam) sangat berbeza berbanding semalam(kelmarin) apabila menewaskan Asiop Academy (2-1), ini kami perlu akui memandangkan NFDP A adalah pasukan terbaik,” jelasnya.-UTUSAN