KUALA LUMPUR: Skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A mengesahkan tempat ke pentas akhir dalam kategori bawah 12 (B-12) tahun Piala Supermokh 2024 selepas menewaskan NFDP B, 3-1, semalam.
Skuad bimbingan Abdul Ghani Malek memulakan aksi dengan penuh menyakinkan apabila melancarkan serangan sebaik wisel perlawanan dibunyikan.
Penyerang berbisa NFDP A, Badrul Hazim Hazmi membuka tirai jaringan buat pasukannya selepas rembatan padunya dari luar kotak penalti pada minit 10 berjaya menewaskan penjaga gawang NFDP B, Mohd Aqil Aqasha untuk kedudukan 1-0.
NFDP A semakin selesa didepan apabila Badrul Hazim menggandakan jaringan buat pasukan selang 12 minit kemudian.
Walaupun ketinggalan 0-2, NFDP B tidak mempamerkan semangat mengalah dengan memperolehi beberapa peluang keemasan namun kekentalan benteng pertahan dan penjaga gawang, Muhammad Aqil Hazwan memastikan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, giliran NFDP B pula dilihat lebih banyak menguasai perlawanan dan memberikan tekanan kepada lawan.
Ketika NFDP B ghairah menyerang memburu gol, NFDP A menambah gol ketiga dan kali ini menerusi Mohd Haziq Mohd Amiruddin pada minit ke 33.
Kerja keras NFDP B memburu gol akhirnya berhasil menerusi rembatan deras Muhammad Farhan Darwisyh namun ia sudah terlambat untuk anak didik Hassan Sazali Waras menghalang kemaraan NFDP A ke final.
Pada peringkat final petang ini, NFDP A akan menentang kelab dari Thailand, Pattaya United.-UTUSAN