BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan tawaran ganjaran AS$5 juta (RM22.3 juta) kepada sesiapa yang berjaya membawa keluar tebusan di Gaza.
Menerusi video yang dirakam di dalam wilayah Palestin, Netanyahu turut menawarkan jaminan keselamatan untuk meninggalkan Gaza jika mereka membantu membebaskan tebusan Israel.
“Sesiapa yang membawa keluar tebusan akan mendapat jaminan keselamatan untuk mereka dan keluarga meninggalkan Gaza.
“Kami juga akan memberikan ganjaran AS$5 juta untuk setiap tebusan,” katanya menurut pejabat Netanyahu.
Netanyahu mengumumkan tawaran itu sambil memakai topi keledar dan jaket kalis peluru serta berlatarbelakangkan Laut Mediterranean di Koridor Netzarim.
“Sesiapa sahaja yang berani mencederakan tebusan kami dianggap mati.Kami akan memburu dan menangkap anda,” tegas Netanyahu.
Beliau bersama Menteri Pertahanan, Israel Katz turut menekankan antara matlamat perang Israel adalah memastikan Hamas tidak lagi memerintah Gaza.
“Kami berusaha mengesan tebusan dan membawa mereka pulang. Kami tidak akan menyerah.
“Kami akan teruskan sehingga menemui mereka semua, sama hidup atau mati,” kata Netanyahu.
Pejuang Hamas menawan 251 tebusan Israel semasa serangan rentas sempadan sejak 7 Oktober 2023, sehingga Israel melakukan tindak balas kejam ke Gaza.
Daripada jumlah itu, 97 tebusan masih ditahan di Gaza, termasuk 34 daripadanya disahkan mati. – AFP