BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mendakwa waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung tindakan kejamnya dalam perang Gaza tidak akan menghalang dirinya daripada mempertahankan Israel.
Namun, beliau menggambarkan keputusan ICC itu sebagai ‘hari gelap dalam sejarah Israel’.
Netanyahu dituduh bersama bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas kesalahan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berikutan serangan berterusan Israel terhadap orang awam Palestin di wilayah terkepung itu.
EJEK ICC
“Tiada keputusan anti-Israel yang keterlaluan akan menghalang kami dan ia tidak akan menghalang saya daripada terus mempertahankan tanah kami dalam setiap cara.
“ICC di The Hague yang ditubuhkan untuk melindungi manusia, hari ini telah menjadi musuh manusia. Tuduhan itu sama sekali tidak berasas.
Kami tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan,” katanya dalam kenyataan video.
Israel melancarkan perang di Gaza sejak Oktober 2023, apabila serangan rentas sempadan oleh Hamas mengakibatkan kematian 1,206 orang, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi dikeluarkan rejim itu.
Namun, kempen balas dendamnya kini sudah meragut 44,056 nyawa, kebanyakannya orang awam, menurut angka dari Kementerian Kesihatan wilayah kendalian Hamas yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
ICC memaklumkan sudah menemui alasan munasabah untuk mempercayai Netanyahu dan Gallant bertanggungjawab terhadap jenayah perang kebuluran serta jenayah terhadap kemanusiaan yang melibatkan pembunuhan, penganiayaan dan tindakan tidak berperikemanusiaan lain.
Netanyahu sebaliknya masih berdegil mempertahankan tindakan kejamnya itu, malah menuduh mahkamah mengenakan tindakan tidak adil terhadap Israel.
“Mahkamah menuduh Israel melakukan ‘jenayah rekaan’, sambil mengabaikan jenayah perang sebenar, jenayah perang ngeri yang dilakukan terhadap kami dan terhadap ramai orang lain di seluruh dunia,” dakwanya.
Selain Netanyahu dan Gallant, ICC turut mengeluarkan waran tangkap untuk ketua sayap tentera Hamas, Mohammed Deif yang didakwa Israel terbunuh dalam serangan udara Julai lalu.
Hamas bagaimanapun tidak pernah mengesahkan kematiannya.
Netanyahu, malah mengejek keputusan mahkamah mengeluarkan waran untuk ‘mayat Mohammed Deif’.
DUNIA SAMBUT BAIK
Sementara itu, rakyat Palestin dan masyarakat antarabangsa menyambut baik keputusan ICC mengeluarkan waran tangkap tersebut.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) berkata, pihaknya berharap keputusan itu akan membantu memulihkan kepercayaan kepada undang-undang antarabangsa.
Netanyahu dan Gallant adalah pegawai terkemuka pertama dari negara sekutu rapat Barat yang menerima waran tangkap ICC sejak mahkamah itu ditubuhkan pada Julai 2002.
PA, yang menandatangani ICC pada 2015, menyeru semua negara anggota PBB menahan dan memutuskan hubungan atau menolak pertemuan diplomatik dengan lelaki paling dikehendaki di dunia itu berdasarkan waran berkenaan.
IKRAR TAHAN NETANYAHU
Ketua diplomat Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrel, menyiarkan mesej di platform media sosial X di mana beliau menyifatkan keputusan ICC itu tertakluk kepada semua negara yang telah mendaftar dengannya.
“Keputusan ini mengikat semua negara yang terlibat dalam Statut Rom (perjanjian yang menubuhkan ICC), yang merangkumi semua negara anggota EU,” tulisnya.
Arahan itu disambut Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto yang menegaskan pihaknya akan diwajibkan untuk menangkap Netanyahu jika beliau membuat lawatan ke negara itu.
“Saya percaya ICC ‘salah’ untuk meletakkan Netanyahu dan Gallant pada tahap yang sama dengan Hamas. Tetapi jika Netanyahu atau Gallant datang ke Itali, kami perlu menangkap mereka.
“Ia bukan pilihan politik tetapi Itali terikat sebagai ahli ICC untuk bertindak atas waran mahkamah,” kata Crosetto.
Sementara itu, jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, dasar badan berkenaan mengenai hubungan dengan individu yang menghadapi waran tangkap termaktub dalam dokumen yang dikeluarkan pada 2013.
“Peraturannya ialah tidak boleh ada sebarang hubungan antara pegawai PBB dan individu yang tertakluk kepada waran tangkap.
“Tetapi hubungan terhad dibenarkan hanya ketika menangani isu asas, isu operasi dan keupayaan kami untuk melaksanakan mandat kami,” tambahnya.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan Netanyahu tidak bercakap sejak perang Gaza bermula walaupun terdapat hubungan dengan pemimpin Israel oleh pegawainya di rantau itu.
Guterres telah diisytiharkan sebagai persona non grata oleh Israel, yang menuduhnya berat sebelah dan memihak kepada rakyat Palestin.-AFP/REUTERS