OTTAWA : Seorang warga emas dari Kanada berjaya mencipta rekod dunia baharu apabila melakukan sebanyak 1,575 tekan tubi dalam tempoh satu jam, sekali gus meraih gelaran Guinness World Records yang kedua.
DonnaJean Wilde, 59, dari Beazer, Alberta, mencatatkan rekod untuk kategori most pushups in one hour (wanita) apabila berjaya mengatasi rekod sebelumnya dengan baki masa 17 minit.
“Saya perlu menahan air mata kegembiraan dan terus berusaha.
“Saya masih berasa cukup kuat dan mensasarkan untuk mencapai bilangan tekan tubi yang lebih tinggi dalam baki masa tersebut,” kata Wilde kepada Guinness World Records.
Sebelum ini, Wilde mencipta rekod dunia bagi tempoh masa paling lama melakukan posisi plank (wanita) dengan catatan masa 4 jam, 30 minit dan 11 saat.
Kongsinya, latihan intensif untuk rekod tersebut mempersiapkan dirinya bagi cabaran baharu ini.
Cubaan terbaharu Wilde itu turut disaksikan oleh 11 cucunya.
“Sokongan keluarga, terutama cucu-cucu saya, memberikan motivasi besar untuk terus mencabar diri,” katanya.
Rekod luar biasa ini mengukuhkan kedudukan Wilde sebagai salah seorang wanita yang paling lasak dan berdaya tahan di peringkat antarabangsa. -AGENSI