SERDANG: Negeri Sembilan Antlers mempertahankan gelaran juara Liga Sepak Takraw (STL) apabila menewaskan Kuala Lumpur Thunder 2-0 dalam aksi final di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, sebentar tadi.
Turun selaku juara bertahan, Negeri Sembilan Antlers menurunkan barisan terkuat diwakili Haziq Nizam (tekong), Zulefendi Sumari (apit kiri) dan Hafizul (apit kanan) dipaksa bekerja keras untuk mencatatkan kemenangan 17-15 di set pertama.
Beraksi di set kedua menyaksikan skuad kendalian Mohd. Shahir ketinggalan pada suatu ketika sebelum bangkit untuk memastikan kemenangan 15-10.
Aksi tersebut turut disaksikan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Negeri Sembilan Antlers membawa pulang hadiah kemenangan RM30,000 berserta piala manakala naib juara menerima RM15,000 dan trofi.
Tempat ketiga dimenangi Selangor Pistons selepas menewaskan Perak Bison 2-1 dalam aksi terdahulu.
Selangor Pistons membawa pulang hadiah RM8,000 manakala Perak Bison menerima RM3,000.
Pemain terbaik kejohanan menjadi milik Haziq sekali gus membawa pulang hadiah RM1,500. – UTUSAN