PETALING JAYA: Kemunculan semula Natxo Insa dalam skuad kebangsaan tidak wajar dijadikan pertikaian oleh peminat bola sepak tempatan.
Biarpun prestasinya dikritik hebat ketika Piala Asia, penyenaraian semula Insa dilihat tepat pada masanya kerana pemain kelahiran Sepanyol itu, sudah memenuhi semua kriteria dimahukan penyokong.
Bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir percaya pengalaman dan kualiti yang dipamerkan Insa bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu diteruskan bersama Harimau Malaya.
“Kalau kita tengok prestasinya di JDT, memang tidak oleh disangkal lagi kerana bagi saya dengan pengalamannya, dia memang layak dipanggil. Apabila dia beraksi baik bersama JDT, mungkin kali ini dia boleh bantu pasukan kebangsaan.
“Sebelum ini dia jarang bermain dengan JDT tetapi dibawah Hector Bidoglio dia selalu beraksi. Kalau penyokong mahu lihat pemilihan berdasarkan prestasi terkini, dia sememangnya berhak
“Soal perbezaan kualiti rakan sepasukan antara JDT dan Harimau Malaya tidak timbul kerana pemain lain yang dipanggil juga adalah sahabat dia juga. Jadi bagi saya kalau ikut prestasi memang tidak ada masalah,” katanya.
Sebelum ini, kelibat Insa di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit mendapat pujian ramai hingga namanya kembali disenaraikan dalam kem latihan kebangsaan yang akan bermula Ahad ini.
Daripada senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam, pengendali negara, Pau Marti Vicente mengekalkan 20 daripada 26 pemain yang sertai kem pusat ketika berkunjung ke New Zealand, bulan lalu.
Selain Insa, lima pemain baharu dipanggil kali ini iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli (Perak FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Sergio Aguero (Sri Pahang FC), dan kapten, Dion Cools (Buriram United).-UTUSAN