PETALING JAYA: Hasrat Malaysia Tigress untuk menempah tiket ke final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) tidak kesampaian apabila tewas 3-1 kepada China dalam aksi separuh akhir kejohanan di Stadium Hoki Rajgir, India, sebentar tadi.
Walaupun tewas namun pujian wajar diberikan kepada anak-anak buah Nasihin Nubli Ibrahim kerana gawang pasukan negara tidak dibolosi dengan jumlah jaringan yang banyak memandangkan China merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024.
China turun selaku pasukan pilihan dalam aksi tersebut membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 hasil gol padang Deng Qiuchan sebelum Fan Yunxia mengukuhkan kedudukan selang tujuh minit kemudian hasil pukulan sudut penalti.
Skuad kendalian Huang Yongsheng memperoleh gol ketiga hasil pukulan sudut penalti Tan Jinzhuang pada minit ke-23.
Gol saguhati Malaysia diperolehi hasil pukulan sudut penalti Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit ke-36.
Melihat persembahan Malaysia Tigress, bekas pemain kebangsaan, Nasihin optimis mereka mampu mencatat keputusan podium apabila dijadual bertemu sama ada India atau Jepun dalam penentuan tempat ketiga dan keempat, esok.
“Walaupun kita tewas dengan China tetapi pemain sudah memberikan yang terbaik. Kita boleh lihat pasukan berpeluang untuk menjaringkan gol dan perlawanan hari ini berbeza pada aksi sebelum ini di mana kita banyak menguasai permainan dan membuatkan China sukar menyerang pasukan kita.
“Kredit diberikan kepada pemain negara kerana telah bekerja keras menunjukkan bahawa kita sudah berada di tahap yang bagus untuk masa akan datang.
“Menjelang aksi ketiga dan keempat saya harap pemain dapat melakukan pemulihan dengan baik supaya turun lebih baik daripada hari ini. Bagi aksi esok, kita akan bekerja keras untuk mendapatkan podium dan saya amat yakin dengan pemain,” katanya. – UTUSAN