PETALING JAYA: Hari terakhir Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara bawah 18 tahun (B-18) menyaksikan dua atlet kontinjen Malaysia berjaya meraih dua pingat emas pada acara masing-masing pada pagi tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah, Nabil Faiz Ayub mengungguli acara akhir baling tukul besi lelaki dengan catatan 59.17 meter (m) menjadikan pingat emas kelapan kontinjen negara.
Atlet kelahiran Sabah itu turut memperbaharui catatan rekod peribadinya (PB) pada acara akhir itu yang mana pingat perak menjadi milik Haritchai Kongtuk dari Thailand (56.23m) manakala gangsa dituai oleh Solomon Ng dari kontinjen negara (55.77m).
Sementara itu, acara akhir lompat kijang lelaki menyaksikan Rico Andrew turut menyumbang pingat kesembilan negara selepas mencatat lompatan sejauh 14.21m pada kejohanan edisi ke-16 berkenaan.
Lebih manis, atlet kelahiran Sabah turut memperbaharui catatan terbaik peribadi (PB) beliau dari 14.17m kepada 14.21m selepas berdepan dengan prestasi yang kurang konsisten sebelum ini.
Pingat perak berjaya menjadi milik atlet Malaysia, Muhammad Khairul Naim Nizamuddin dengan catatan 14.15m manakala A Phisorn Chuayjamnaek dari Thailand membawa pulang gangsa (14.13m).
Kontinjen Malaysia kini dipisahkan satu pingat emas dengan Thailand mendahului carta pungutan dengan 10 emas.
Malaysia akan meneruskan saingan dengan baki lapan acara akhir pada petang ini. – UTUSAN